Peletakan batu asas bagi projek perumahan Lugu Fasa 2

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Projek Perumahan Negara Kampung Lugu Fasa 2 secara rasmi bermula dengan majlis peletakan batu asas di tapak projek berkenaan, hari ini.

Upacara peletakan batu asas telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Projek perumahan negara di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 itu akan menyediakan 1,000 unit rumah jenis teres, di atas tapak seluas 165 hektar, berserta dengan prasarana asas seperti bekalan elektrik, bekalan air dan jalan raya.

Projek tersebut bernilai lebih $108 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan dengan perlaksanaan projek dikendalikan oleh kontraktor dilantik, Swee Sdn Bhd.

Majlis peletakan batu asas berkenaan juga diselajurkan dengan acara penanaman pokok sebagai inisiatif terhadap perubahan iklim dan soko-ngan Kempen 26,000 pokok di bawah Protokol Hijau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan) di Kementerian Pembangunan, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; pemangku ketua Kampung Lugu dan Katimahar, ketua-ketua jabatan berserta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pembangunan, pihak kontraktor dan wakil dari Eco Bumi Arkitek dan Petar Perunding Sdn Bhd, perunding yang mengendalikan projek berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi semasa menyempurnakan peletakan batu asas pada majlis tersebut.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan mendengar penjelasan mengenai projek perumahan tersebut.