Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Kehidupan seorang pemandu bas sekolah di Kementerian Pendidikan, Dayang Misbah binti Haji Osman bersama tujuh orang anaknya akan menjadi lebih selesa apabila rumahnya di Simpang 52-55-30, Kampung Mata-mata mula dibina.
Majlis peletakan batu asas bagi pembinaan rumah baharunya diadakan hari ini dan disempurnakan oleh Penolong Mufti (Buhuts), Jabatan Mufi Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof selaku salah seorang ahli Majlis Ugama Islam (MUIB).
Rumah bernilai $100,508.33 itu mempunyai empat buah bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah tandas dan kamar mandi serta ruangan dapur yang dibiayai sepenuhnya hasil peruntukan Kumpulan Wang Zakat MUIB.
Ia dijangka siap pada 29 Mac 2021 selepas kerja-kerja pembinaan bermula pada 30 Julai dilaksanakan oleh Syarikat Al-Ekram & Al-Safar Sdn Bhd dan dipantau sepenuhnya oleh Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya.
Dayang Misbah, seorang janda menerima agihan zakat bagi perbelanjaan keperluan asasi pada masa ini mendiami perumahan kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.
Pembinaan rumah tersebut merupakan usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui agensi-agensi kerajaan memeduli dan meringankan bebanan serta kesusahan orang-orang daif, susah dan memerlukan bantuan bagi ke-sejahteraan dan kebajikan mereka.