Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelihara adab semasa ziarah tanah perkuburan

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Amalan menziarahi kubur merupakan sesuatu perkara lazim yang sering dilakukan oleh umat Islam di negara ini pada hari-hari tertentu terutama sekali pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

    Pada kelazimannya, amalan menziarahi kubur ini dilihat semakin bertambah apabila menjelangnya Hari Raya Aidilfitri yang dilakukan bersama kaum keluarga yang lebih ramai.

    Amalan itu sememangnya sudah menjadi lumrah masyarakat Islam di negara ini yang bertujuan bagi memperingati ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah, di samping memanjatkan doa agar roh mereka mendapat curahan rahmat daripada Allah S.W.T.

    Pada hakikatnya, amalan tersebut tidaklah tertumpu pada bulan Ramadan atau bulan Syawal sahaja tetapi ia juga digalakkan untuk dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

    Pada masa yang sama, amalan ini juga akan memberikan keinsafan, mengingatkan diri mengenai kematian dan mengagungkan kekuasaan Allah S.W.T. Sementara itu, salah seorang yang menziarahi tanah perkuburan ketika ditemui turut mengongsikan pendapatnya mengenai menziarahi tanah perkuburan secara berkumpulan atau beramai-ramai itu sudah menjadi kebiasaan mereka pada setiap bulan Ramadan dan Syawal.

    Antara ahli keluarga  yang menziarahi dan membaca Tahlil untuk ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.
    Antara ahli keluarga yang menziarahi dan membaca Tahlil untuk ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.

    Menziarahi tanah perkuburan pada minggu pertama Ramadan pada kebiasaannya akan dipenuhi oleh ahli keluarga dan sahabat handai pada minggu pertama Ramadan, di mana aktiviti membersihkan tanah perkuburan akan dijalankan secara bergotong-royong dan seterusnya membaca Surah Yasin dan Tahlil beramai-ramai.

    Dalam menziarahi tanah perkuburan, agama Islam telah menggariskan beberapa panduan dan adab-adab menziarahi kubur itu antaranya disunatkan untuk berwuduk sebelum menziarahi kubur dan memakai pakaian yang sopan serta menutup aurat.

    Selain itu juga, orang ramai disunatkan untuk memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dan afdal dilakukan dalam keadaan berdiri di tepi kubur dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi serta tidak berbual-bual kosong.

    Disunatkan juga untuk memberi sedekah dan diniatkan kepada ahli kubur supaya pahala akan sampai kepada penghuni kubur tersebut.

    Semasa menziarahi tanah perkuburan pula, ditegah dari melakukan perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda