Pelihara kebersihan diri

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Setiap penyakit pasti ada penawarnya dan kita sebagai umat Islam seharusnya menanamkan keyakinan dan percaya bahawa setiap musibah yang dialami oleh setiap manusia mampu meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

“Ketika ini kita sedang diuji dengan satu wabak yang sedang melanda dunia, di mana untuk mengelak wabak tersebut, kita diharuskan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri sepertimana terdapat dalam sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW demi kebaikan manusia sejagat.”

Perkara tersebut merupakan antara isi kandungan tazkirah Subuh bertajuk ‘Amalan Sunnah Rasulullah SAW dalam Menangani Wabak Penyakit’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohamad Azmi bin Haji Omar sempena Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara pagi tadi.

Hadir pada acara tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.

Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ diadakan antara lain bertujuan menjadi landasan bagi menggandakan lagi amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah SWT, di samping dalam usaha untuk terus memakmurkan masjid dengan aktiviti bermanfaat.

Yang Berhormat Menteri di JPM, Yang Berhormat Menteri Pembangunan serta jemaah lainnya ketika mendengarkan tazkirah berkenaan.