Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Pelihara kehidupan ekosistem sebaik mungkin

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Sekitar 50 peratus kehidupan tumbuhan berdekatan dengan ekosistem telah hilang dalam jangka masa 100 tahun kebelakangan ini.

    Dengan hanya 50 peratus kehidupan tumbuhan yang ada pada masa ini, ia mendorong kita untuk mula bertindak bagi memelihara kehidupan yang ada pada masa ini sebaik mungkin dengan cara menangani isu berkaitan penangkapan hidupan laut secara berlebihan, pencemaran plastik dan juga perubahan iklim.

    Pandangan itu dikongsikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold semasa Forum Pemimpin Muda Alam Sekitar yang diadakan di Dewan Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Forum tersebut merupakan sesi kedua siri perbincangan panel yang dianjurkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai sebahagian daripada Simposium Mengekalkan Bio-diversiti Marin menerusi Ekonomi Biru 2023 bersempena Hari Lautan Sedunia.

    Pelbagai isu dan topik termasuk strategi mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim, pengurusan sumber mampan, pemuliharaan biodiversiti, penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, pengurangan dan kitar semula sisa, keadilan alam sekitar dan penglibatan masyarakat telah dikupas dalam forum terbabit.

    Selain TYT Luke Arnold, forum tersebut turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif PONI Foundation, Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah; Presiden dan Pengasas Beach Bunch, Awang Rizan Latif; ahli Eksekutif BruWILD, ahli Biologi dan Pegawai Perikanan di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Noorlela binti Yassin; Pengasas Future Ocean Borneo PLT, Iqbal Abdullah; dan Pemangku Sekretariat Reef Check dan Pengurus Projek Pemulihan Karang, Frederick Chong.

    Pengasas Bersama Community for Brunei, Shinny Chia selaku moderator forum tersebut turut mendengarkan ahli-ahli panel saling bertukar pandangan serta pengalaman masing-masing berkaitan isu yang dibangkitkan termasuklah dalam membahaskan cara meneroka pendekatan inovatif untuk menangani cabaran alam sekitar yang serius.

    Di samping itu, perbincangan juga tertumpu kepada kepentingan penglibatan belia dalam agenda kemampanan dan memberi inspirasi kepada pihak berkepentingan untuk membangunkan rancangan yang boleh diambil tindakan untuk masa depan yang lebih hijau.

    Forum Pemimpin Muda Alam Sekitar yang berlangsung petang kelmarin di Dewan Kesenian Pro Canselor, UBD.
    Antara yang hadir bagi mendengarkan forum tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...