Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelihara kepentingan negara

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Sejumlah $113,904,600 diperuntukan kepada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bagi Tahun Kewangan 2020/2021 untuk melaksanakan tugasnya bukan saja dalam menegakkan dasar luar negara tetapi juga sebagai pemudah cara dan penghubung diplomatik dan persahabatan bersama negara-negara lainnya.

    Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Dato Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof berkata, melalui pendekatan whole of nation dan kerjasama kementerian-kementerian serta agensi-agensi yang berkenaan, kementerian berkenaan akan dapat terus memelihara dan memajukan kepentingan-kepentingan negara.

    Dalam ucapan mukadimah pada hari keempat Majlis Mesyuarat Negara Musim Permesyuaratan ke-16 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, kementerian berkenaan akan terus mengamalkan prinsip yang selaras dengan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) dengan mengamalkan berbaik-baik bersama semua negara, saling menghormati, kesaksamaan semua negara serta tidak campur tangan dalam hal ehwal negara-negara lain.

    Dasar luar negara yang positif ini, jelasnya, akan memastikan hubungan akrab dengan negara-negara lain terus terjaga  dan imej baik Brunei Darussalam terus terpelihara dan ini dilaksanakan melalui pendekatan secara dua hala dan pelbagai hala melalui pertukaran lawatan dan mesyuarat serta juga  bekerjasama dalam pertubuhan serantau mahupun antarabangsa.

    Menurutnya, negara telah banyak memperoleh manfaat melalui pendekatan berkenaan baik dari segi memberi kefahaman mengenai adat dan tradisi keBruneian atau mengenai dengan apa kebimbangan antarabangsa, atas komitmen negara dalam melaksanakan perjanjian antarabangsa.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan, setakat ini negara telah menjalin hubungan diplomatik dengan 171 negara dan Brunei akan terus berpegang kepada prinsip multilateralisme, menyokong tujuan dan prinsip charter United Nation serta mematuhi undang-undang dan komitmen antarabangsa yang sudah disertai secara penuh.

    Menurutnya, pejabat perwakilan Brunei di negara asing memainkan peranan penting sebagai titik perhubungan antara agensi di negara ini dan agensi di negara berkenaan.

    Yang Berhormat Dato telah membangkitkan mengenai kerjasama antara Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Beijing, China bersama agensi yang berkaitan untuk membawa balik dua orang rakyat Brunei yang berada di bandar Wuhan, wilayah Hubei yang menjadi ground zero wabak COVID-19 dengan menggunakan sebuah pesawat khas, pada bulan lalu.

    Tambahnya, memandangkan wabak COVID-19 yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai kecemasan global dan menjadi pandemik, kesemua pejabat perwakilan Brunei telah dan sedang memantau perkembangan bagi negara-negara di mana pejabat perwakilan ditempatkan.

    Ini, jelasnya, dilaksanakan dengan kerjasama rapat bersama kementerian berkenaan untuk menjamin keselamatan warga Brunei yang berada di luar negara terutama penuntut di negara berkenaan.

    Yang Berhormat Dato turut menyarankan semua rakyat dan penduduk Brunei yang tinggal dan melancong ke luar negara untuk sentiasa mendaftar dalam sistem e-register di laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri yang akan memudahkan pihak perwakilan untuk menghubungi jika sekiranya terjadi kecemasan di mana mereka berada.

    Dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang berada di luar negara, tambahnya, kementerian menggalakkan rakyat dan penduduk tetap untuk mendapatkan insurans kesihatan atau perjalanan sebelum keluar negara yang mana ia juga merupakan salah satu sikap bertanggungjawab setiap individu apabila keluar negeri atas urusan peribadi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda