Pelihara masjid sebaiknya

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Masjid baru mustahak didirikan bagi menggantikan masjid lama yang telah tiada dan tidak boleh ditangguhkan lama-lama, kerana masjid sebelumnya sudah pun pernah wujud, menjadikannya berstatus sebagai ‘keperluan harian’ yang mesti ada untuk memenuhi keperluan orang ramai beribadat.

Disebabkan itulah, raja kita menitahkan masjid yang tiada mestilah digantikan dengan yang baru sesegera mungkin, tidak boleh ditangguh-tangguh, berlainan dengan membangun masjid di tempat yang belum pernah ada masjid, maka itu boleh sahaja bersanayan, tidak mesti serta-merta.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam Khutbah Jumaat pertama sempena sembahyang fardu Jumaat di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri hari ini menekankan perkara itu.

Menurut Yang Berhormat Pehin, masjid baru yang siap dibina dalam masa 49 hari adalah tidak syak lagi hasil daripada budi bicara dan sensitiviti raja.

“Baginda sangat sensitif dengan masjid, dengan ibadah sembahyang. Sensitiviti seperti ini tidak diragukan lagi adalah perkara mulia di sisi Allah S.W.T, perkara yang boleh mendatangkan pahala dan rahmat, lebih-lebih lagi ianya berpunca daripada raja, selaku ketua agama, kepala negara dan ketua kerajaan,” tekan Yang Berhormat Pehin.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja lain berkenan menunaikan sembahyang fardu Jumaat pertama di Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja lain berkenan menunaikan sembahyang fardu Jumaat pertama di Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri.
Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung bergambar ramai.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung bergambar ramai.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama para jemaah masjid.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama para jemaah masjid.
Mufti Kerajaan ketika menyampaikan khutbah.
Mufti Kerajaan ketika menyampaikan khutbah.

Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri yang siap dibina dalam masa 49 hari.
Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri yang siap dibina dalam masa 49 hari.

“Sensitiviti seperti ini, yang menyangkut perkara masjid dan ibadah sembahyang, juga pernah berlaku kepada Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A, manakala beliau itu pada suatu hari mendapati seseorang daripada kalangan ahli jemaah masjid yang biasa-biasa berjemaah dengan beliau, tetapi pada hari itu orang tersebut tidak kelihatan, lalu beliau pun bertanya: Mana dia? Mana orang ini tidak nampak dalam masjid untuk sembahyang?

“Orang menjawab: Dia sakit, wahai Amirul Mukminin.”

Daripada peristiwa itu, Mufti Kerajaan telah menjelaskan bahawa itu adalah bukti betapa luar biasanya keprihatinan dan sensitiviti seorang ketua agama, seorang raja kepada orang-orang beriman terhadap masjid dan ibadah sembahyang rakyatnya, dan menurutnya lagi, Raja Brunei adalah salah seorang daripada mereka.

Menyentuh mengenai masjid, Yang Berhormat Pehin telah menekankan bahawa apa-apa jua yang berkaitan dengan masjid bukanlah remeh-temeh.

“Tahukah kita apa erti masjid? Erti masjid dalam Bahasa Arab ialah Mihrab. Kita menyebut ‘Mihrab Masjid’. Sebenarnya Mihrab itulah sendiri masjid. Mihrab berasal daripada perkataan ‘harb’ ertinya ‘perang’. Jadi mihrab bermakna alat peperangan. Alat peperangan ke atas siapa: Jawabnya: Alat peperangan untuk memerangi para syaitan,” jelas Yang Berhormat Pehin.

“Para syaitan sangat benci kepada masjid. Para syaitan amat-amat rimas dengan masjid. Mereka tidak tahan dengan masjid. Mengapa? Kerana di sinilah tempat orang-orang berzikir, tempat orang-orang mengingati Allah S.W.T, di mana zikir bagi para syaitan adalah ibarat bom-bom yang meledak ke atas kepala-kepala mereka,” jelasnya lagi.

Menurut Mufti Kerajaan, masjid tidak syak lagi adalah tempat suci. Rahmat turun ke atasnya, dan orang-orang yang berada di dalamnya adalah menjadi sumber berkat dan sumber keselamatan untuk semua.

Maka lantaran itu, Mufti Kerajaan menasihatkan agar sayangi, pelihara, jangan rosakkan dan jangan cemari masjid.

“Kita tidak tahu mengapa masjid kadang-kadang dapat musibah? Hanya Allah S.W.T jua Yang Maha Mengetahuinya. Tetapi tugas kita ialah menyayangi masjid, tidak menjejaskan kemuliaannya. Ingat, masjid bukan tempat membuat kecoh, atau melakukan riuh rendah, atau berbual-bual perkara dunia. Masjid adalah tempat ibadat.”

Mufti Kerajaan juga menyarankan kepada jemaah agar membersihkan masjid daripada apa jua bentuk kekotoran dan pencemaran, sama ada kotoran yang nampak di mata ataupun yang tidak nampak di mata.