Friday, June 2, 2023
27.4 C
Brunei

    -

    Pelihara warisan budaya bangsa

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Muzium Teknologi Melayu, Jabatan Muzium-muzium buat julung kalinya mengadakan Pameran Semarak Kebangsaan dengan tema Calak KeBruneian sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39.

    Hadir menyempurnakan pelancaran pameran berkenaan di Ruang Legar Muzium Teknologi Melayu, Kota Batu, hari ini ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

    Pemangku Pengarah Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus dalam ucapannya antara lain menjelaskan, pameran itu merupakan satu wadah bagi menggalakkan orang ramai khususnya tujuh puak Brunei, pengumpul koleksi persendirian dan agensi kerajaan bekerjasama dalam bidang penyelidikan, pemeliharaan dan pameran tradisi dan warisan budaya bangsa dan negara.

    Beliau seterusnya menambah, ia antara lain juga bertujuan untuk menyuntik semangat patriotisme selain menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dengan mempamerkan bahan-bahan koleksi muzium.

    Ia juga mendidik dan memberikan kefahaman kepada masyarakat dan orang ramai mengenai budaya dan tradisi masyarakat tujuh puak jati Brunei.

    Hajah Nor Ashikin melancarkan Pameran Semarak Kebangsaan, kelmarin.
    Antara yang hadir pada majlis berkenaan.
    Tetamu Kehormat menyampaikan cenderahati dan sijil kepada Haji Rozan.

    “Ini adalah selaras dengan strategi kementerian dalam mengukuhkan jati diri dan identiti bangsa sebagai teras pembangunan negara yang berpaksikan Melayu Islam Beraja (MIB) serta usaha berterusan kementerian melalui muzium untuk meningkatkan budaya dinamik dan warisan terpelihara,” tambahnya.

    Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan cenderahati dan sijil kepada Jabatan Perkhidmatan Pos dan Haji Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

    Pameran dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A: Pewaris Identiti Bangsa yang mengetengahkan pameran busana perkahwinan tujuh puak jati Brunei sementara itu, Zon B: Pencinta Negara mengetengahkan persembahan padang yang disertai beribu-ribu orang dalam sama-sama meraikan Hari Kebangsaan yang disambut setiap 23 Februari.

    Manakala itu, Zon C: Penyumbang Pembangunan Negara mempamerkan fakta-fakta menarik mengenai pembangunan di Negara Brunei Darussalam.

    Pameran berkenaan berlangsung selama enam bulan hingga 16 September 2023 di mana terdapat pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan untuk meningkatkan kefahaman dan mengongsikan pengalaman yang bercalakkan keBruneian.

    Sepanjang bulan Ramadan, waktu lawatan pada setiap Sabtu hingga Khamis bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 petang dan akan kembali beroperasi seperti biasa di bulan Syawal dan muzium ditutup pada setiap Jumaat, 1 Ramadan dan 1 hingga 3 Syawal.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun, AS sahkan kerjasama, tentang pelancaran satelit Korea Utara

    TOKYO, 2 JUN - Menteri Pertahanan Jepun, Yasukazu Hamada dan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengesahkan kelmarin bahawa kedua-dua negara akan bekerjasama menentang pelancaran...
    - Advertisment -