Pelik tapi benar: Penemuan makhluk misteri

Oleh Adiiwira

Kehidupan di dunia merupakan satu pinjaman sementara Allah kepada makhluk manusia yang dikongsi bersama dengan makhluk-makhluk lain.

Justeru, bumi ini bukanlah hak milik manusia semata-mata untuk berbuat sesuka hati tetapi ia adalah milik Allah.

Perasaan ingin tahu tidak pernah lari di dalam diri manusia. Oleh kerana dorongan minat yang mendalam untuk menerokai dunia ini agar menjadi seorang yang peka dan mengetahui persoalan tentang kehidupan dan cara menjadikannya lebih baik untuk kita lebih menghargainya.

Menemukan sesuatu benda atau perkara yang aneh dan misteri merupakan perkara yang luar biasa dan langka. Hal tersebut kerana perkara ini tidak sering terjadi dalam kehidupan seharian kita dan hanya menganggapnya sebagai fatamorgana kerana perasaan yang bercampur baur antara percaya dan tidak dalam diri terhadap penemuan tersebut.

Dalam masa yang sama dapat membuka minda kita bahawa masih banyak lagi hal-hal dan hidupan yang aneh yang masih belum ditemukan dan dikaji sepenuhnya. Dalam ruangan ini, penulis akan mengongsikan tentang penemuan makhluk aneh yang pernah terjadi:

Seorang suri rumah tangga menjumpai makhluk mini aneh yang tidak pernah dilihatnya.
Sebuah video tular di laman Twitter, seorang lelaki menemukan gumpalan misteri yang berada di atas batu. – Agensi
Penemuan mumia alien yang berukuran sangat kecil iaitu sekitar 7.2sm. – Agensi
‘Montauk Monster’ merupakan makhluk berkaki empat yang memiliki wajah serta gigi serupa monster ini ditemukan oleh Jenna Hewitt dan tiga orang kawannya. – Agensi

Tikus mini alien

Sesiapa sahaja di dunia ini mengenali makhluk bergelar tikus yang merupakan sejenis haiwan perosak dan penyebar penyakit. Tetapi adakah para pembaca pernah menjumpai atau mendengar tentang tikus mini alien? Sejujurnya penulis juga tidak pernah menemui jenis tikus sedemikian.

Hal ini berlaku di Auckland, kota terbesar di New Zealand, di mana seorang suri rumah tangga menjumpai makhluk mini aneh yang tidak pernah dilihatnya dan sesegera memanggil ahli keluarganya untuk memeriksa.

Tim Clerke, anak kepada ibu tadi juga merasa hairan melihat makhluk serupa dengan tikus mini yang mengeliat di lantai dapur. Dia kemudiannya memungut beberapa ekor dan merakamnya, dan lalu menyiarkan di laman media sosial.

Dalam waktu singkat, gambar-gambar tersebut menjadi tular di seluruh dunia dan sehingga kini video yang disiarkan Tim mencecah setengah juta tontonan. Dalam klip pendek itu terlihatlah keanehannya, dengan bahagian tubuh bulat kecil dan ekor tipis panjang. Makhluk itu kemudian bergerak ke tengah menggeliat di telapak tangan.

Sehingga kini makhluk tersebut belum lagi dapat dikenal pasti dan tiada jawapan yang tepat untuk menerangkan jenis spesies itu. Seorang ahli entomologi dari Biosecurity New Zealand memberi tanggapan bahawa makhluk itu adalah kaki yang terlepas dari seekor rama-rama.

Pakar serangga New Zealand, Eric Edwards, memperkirakan bahawa makhluk-makhluk tersebut adalah ulat berekor tikus.

Makhluk seperti Venom

Jika para pembaca seorang yang meminati komik atau cerita adiwira Marvel, pasti anda akan mengenali watak bernama Venom yang merupakan watak anti-adiwira dalam cerita Spiderman. Venom ini merupakan satu symbiote atau makhluk berasal dari angkasa lepas yang mampu memberikan kekuatan kepada orang yang bersatu dengannya.

Justeru, symbiote venom ini dikatakan benar-benar wujud. Di mana sebuah video tular di laman Twitter, seorang lelaki menemukan gumpalan misteri yang berada di atas batu. Di saat gumpalan berwarna hitam itu dikacau, ia lantas bergerak dan seolah-olah ingin bersatu kembali dengan bahagian-bahagian yang lain.

Apabila video itu tular, para penontonnya menyebut makhluk itu serupa dengan symbiote venom. Lalu salah seorang pengguna Twitter memberikan informasi yang betul, di mana gumpalan hitam tersebut merupakan sejenis bootlace worm. Haiwan ini dikatakan sering dijumpai di pantai-pantai berbatu di kawasan utara Britain. Berkemungkinan, pelukis watak Venom mengambil ilham daripada haiwan tersebut untuk mewujudkan watak anti-adiwira tersebut.

Mumia alien di Chile

Sebagaimana yang dijelaskan awal, masih banyak lagi hal-hal dan hidupan yang aneh yang masih belum ditemukan dan dikaji sepenuhnya serta manusia berkongsi hidup di dunia ini. Justeru ada makhluk lain yang turut hidup yang selama ini tidak memperlihatkan kewujudannya.

Peristiwa ini berlaku pada 1 Oktober 2002, di Gurun Atacama, Chile, di mana penemuan mumia alien yang berukuran sangat kecil iaitu sekitar 7.2sm oleh Julio Carreno dan keluarganya disemak. Mengikut pembacaan penulis, makhluk ini dikatakan sempat hidup selama lapan hari selepas penemuannya.

Makhluk itu dikatakan memiliki kuku, bermata sepet, dan gigi. Pada mulanya tubuhnya berwarna merah muda dan kemudian lama-kelamaan berubah menjadi coklat gelap. Pelbagai analisis yang dibuat dan paling terakhir yang diungkapkan oleh media Amerika Syarikat, New York Times pada bulan Mac 2018 iaitu makhluk berkenaan memiliki DNA seperti manusia yang berasal dari penduduk setempat. Menurut peneliti, DNA mumia berkenaan menunjukkan adanya mutasi genetik yang terkait dengan perkembangan tulang.

Montauk Monster

Pada 23 Julai 2008, The Independent menyiarkan satu berita mengenai penemuan makhluk aneh yang terdampar di pantao Ditch Plains, Montauk, sehingga makhluk misteri ini diberikan gelaran sebagai ‘Montauk Monster’.

Mengikut khabar, makhluk berkaki empat yang memiliki wajah serta gigi serupa monster ini ditemukan oleh Jenna Hewitt dan tiga orang kawannya. Setelah berita ini tular, banyak spekulasi mengatakan tentang makhluk tersebut, di mana ada yang mengatakan hasil eksperimen sehingga diduga sebagai kura-kura tanpa cengkerang.

Walau bagaimanapun, spekulasi itu dicanggah oleh ahli paleontologi Britain, Darren Naish, serta ahli biologi Amerika, Jeff Corwin menyimpulkan bahawa makhluk itu sebenarnya bangkai rakun yang kehilangan bulu serta rahang atasnya.