Pelindung muka dan penutup mulut kain untuk murid diteliti

KUALA LUMPUR, 10 OGOS – Kerajaan sedang meneliti sama ada ‘face shield’ atau pelindung muka boleh digunakan sebagai alternatif kepada penutup mulut dan hidung untuk murid sekolah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu telah dibawa kepada pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli penutup mulut dan hidung pakai buang.

Face shield kita boleh beli sekali sahaja dan boleh dibasuh atau dibersihkan serta boleh digunakan selama empat hingga lima bulan.

“Kita juga meminta KKM mengkaji supaya penutup mulut dan hidung murid-murid boleh dibuat daripada kain biasa yang boleh dijahit sendiri, boleh dibasuh dan tidak perlu ditukar setiap hari,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata selain itu, KKM juga diminta mempertimbangkan untuk meneliti mereka yang memakai purdah tidak perlu memakai penutup mulut dan hidung lagi dan jika semua pertimbangan itu telah diluluskan, ia akan diumumkan kemudian.

Pemakaian penutup mulut dan hidung tidak diwajibkan bagi mereka yang berada di sekolah, namun ia sangat digalakkan apatah lagi sejak kerajaan mewartakan pemakaiannya wajib mulai 1 Ogos khususnya ketika berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak. – Bernama

Seorang budak Kampung Merchong Mohamad Huzairie Yahya, 11, memakai penutup mulut dan hidung bermain basikal dengan kawan-kawan ketika tinjauan di sini, kelmarin. Kerajaan akan meneliti untuk mempertimbangkan pelindung muka dan penutup mulut dan hidung kain bagi murid. – Bernama