Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelita Brunei rai jubli nilam

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Jabatan Penerangan melalui Bahagian Pelita Brunei telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Nilam Akhbar Rasmi Kerajaan Pelita Brunei ke-65 Tahun, pada hari ini, di Masjid Ash-Shaliheen, Jabatan Perdana Menteri.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Juga hadir ialah setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri; pemangku pengarah penerangan, para pegawai serta kakitangan Jabatan Penerangan.

    Terlebih dahulu, majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil dipimpin oleh Penolong Ketua Imam masjid berkenaan, Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain, diikuti dengan Doa Kesyukuran dipimpin oleh Haji Mohammad Izzat Izzuddin yang juga mengimamkan sembahyang Fardu Asar selepas itu.

    Pelita Brunei, akhbar rasmi kerajaan yang mula diterbitkan pada 15 Februari 1956 kini berkembang selaras dengan teknologi terkini yang lebih canggih sesuai dengan kerja-kerja penerbitan.

    Dalam usianya yang menjangkau 65 tahun, Pelita Brunei telah banyak mengharungi cabaran dan rintangan namun masih kekal relevan dan terus menanai tanggungjawabnya untuk memberigakan maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan kepada setiap lapisan masyarakat di Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri di JPM bersama para pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Penerangan yang hadir semasa majlis yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen. – Gambar oleh Lyna Mohamad
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda