Pelitup muka bergaya dapat permintaan

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Jualan pelitup muka telah meningkat dalam seminggu kebelakangan ketika penduduk Brunei bimbang dengan peningkatan kes apabila gelombang kedua wabak COVID-19 melanda negara.

Sebelum ini hampir tidak ada di kedai-kedai, pelitup muka kini kembali mendapat permintaan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan kiub cuba menjana pendapatan dengan menjual pelitup muka bergaya atau bertema.

Seorang pengusaha dalam talian berkata, beliau telah dihujani dengan tempahan daripada pelanggan yang ingin melindungi diri mereka, sementara kelihatan bergaya. Sebahagian tempahan sedang dihantar ke Brunei.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha menerusi Instagram menyatakan bahawa beliau baru-baru ini mendapati bahawa menggunakan pelitup muka pembedahan sahaja tidak berkesan melindungi diri daripada koronavirus, terutamanya kini dengan kemunculan varian Delta.

“Memakai kain di atasnya meningkatkan perlindungan kepada kira-kira 95 peratus. Jadi saya fikir adalah bagus untuk menjual pelitup biasa dan bergaya, yang kini menjadi sebahagian daripada aksesori harian orang ramai,” ujarnya.

Pelbagai bentuk pelitup muka bercetak dan bergaya telah dijual di pasaran bagi memenuhi permintaan ramai.

Menurutnya lagi, beliau tidak menjangka orang akan menempah pelitup muka bergaya, kerana ia lebih mahal, tetap ramai yang menghargai fakta bahawa mereka membayar bagi pelitup muka yang berkualiti baik.

Dayang Rashidah adalah salah seorang yang menggunakan pelitup muka sebagai sebahagian daripada gaya, dengan pelitup muka kain bertemakan Palestin, yang dikatakannya membuatkan beliau ‘selesa’.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Eqah berkata bahawa memakai pelitup muka bergaya membantu menambah ‘keceriaan’ berbanding pelitup muka pembedahan biasa.

Menurut beliau, pelitup muka pembedahan mengingatkannya kepada hospital dan membuatkannya rasa cemas.

“Pelitup muka bercetak saya menceriakan suasana dan ia juga mematuhi standard kesihatan,” tambahnya.

Para peruncit juga menjual pelitup muka berwarna cerah dengan rekaan-rekaan menyeronokkan, untuk membuatkan pemakaiannya menjadi lebih mudah dan satu pengalaman yang baik bagi kanak-kanak sekolah.