Pelitup muka kanak-kanak tidak membahayakan

Bolehkah memakai pelitup muka membahayakan kanak-kanak untuk melindungi mereka daripada COVID-19?

Tidak, tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan pelitup muka boleh membahayakan kesihatan anak-anak meskipun dakwaan tidak berasas yang mencadangkan sebaliknya.

Dakwaan itu tular di media sosial ketika wabak virus melanda kebanyakan sekolah di AS yang dibuka semula terutama yang tidak mempunyai mandat untuk memakai pelitup muka.

Antara hujah yang tidak berasas termasuk pelitup muka boleh menarik kuman jika menjadi lembab atau menyebabkan kadar karbon dioksida yang tidak sihat. Tetapi para pakar mengatakan bahawa mencuci pelitup muka secara rutin menjadikannya selamat dan bersih.

Ada yang berpendapat bahawa anak-anak kecil kehilangan fokus visual dan sosial yang penting yang meningkatkan pembelajaran dan perkembangan apabila rakan sekelas dan guru mereka memakai pelitup muka. Tetapi pendapat lain mengatakan kanak-kanak dengan masalah penglihatan atau pendengaran belajar untuk menyesuaikan diri dan anak-anak lain juga boleh melakukannya.

“Kami tidak pasti bahawa pelitup muka tidak mempunyai kesan perkembangan tetapi kami tahu bahawa timbulnya kesan buruk daripada tidak berusaha menghentikan penularan,” kata Dr Emily Levy, pakar rawatan kritikal dan kawalan jangkitan di Mayo Clinic Children Center.

Terdapat bukti kukuh menunjukkan kanak-kanak di sekolah dapat mengurangkan jangkitan COVID-19 kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang lain.

Di 166 sekolah di Maricopa County, Arizona, wabak COVID-19 adalah dua kali lebih tinggi bagi mereka yang tidak mempunyai mandat memakai pelitup muka, kata Dr Rebecca Sunenshine, pengarah perubatan jabatan kesihatan awam daerah itu.

Kajian dari daerah sekolah di negeri lain termasuk North Carolina juga mendapati bahawa pelitup muka dapat mengurangkan kadar penularan COVID-19, terutama jika digabungkan dengan penjarakan fizikal dan langkah pencegahan lain. – AP