Pelitup muka, pensanitasi jadi barang keperluan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Dengan Negara Brunei Darussalam berhadapan gelombang kedua penularan wabak COVID-19 pada 8 Ogos lalu, kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah kawalan yang diperketat termasuk penggunaan pelitup muka ketika berada di kawasan-kawasan awam termasuk di pejabat.

Usaha itu merupakan langkah untuk mengawal penularan COVID-19 di samping keperluan untuk membasuh tangan dan memastikan kebersihan diri. Dalam kehidupan harian norma baharu ini, barangan seperti pelitup muka dan pensanitasi tangan menjadi barangan keperluan harian dengan setiap rumah menyediakan bekalan mencukupi bagi kegunaan seisi rumah.

Seorang penjawat awam, Dayang Suhana binti Derus berkata bahawa barangan seperti pelitup muka dan pensanitasi tangan merupakan barangan keperluan harian bagi mereka sejak bermula gelombang kedua penularan wabak COVID-19.

Beliau membeli beberapa kotak pelitup muka pelbagai jenis bukan sahaja bagi kegunaannya tetapi juga keluarganya termasuk anak-anak.

Selain daripada pelitup muka pembedahan, beliau juga mempunyai pelitup muka fabrik yang digunakan bersama pelitup muka pembedahan ketika ke kedai untuk membeli barangan keperluan rumah sebagai langkah-langkah waspada.

Menurutnya lagi, kini beliau melakukan kerja dari rumah (WFH) tetapi suaminya pula merupakan seorang petugas barisan hadapan dan perlu bekerja di luar. Beliau menambah bahawa sebagai langkah berhati-hati, suaminya akan sentiasa menggunakan disinfektan pada kunci dan telefon bimbit serta mensanitasi tangan apabila pulang selepas bekerja dan juga terus mandi sebelum berinteraksi dengan anak-anak.

Baginya, pada masa penularan COVID-19, mereka sekeluarga lebih peka dan mengutamakan amalan kebersihan diri serta penggunaan barangan seperti pensanitasi tangan dan pembasmi kuman dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata bahawa tidak dinafikan barangan seperti pelitup muka dan pensanitasi tangan kini menjadi barangan keperluan, oleh itu, beliau amat menyambut baik inisiatif pihak kerajaan khususnya Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang mengeluarkan senarai perbezaan harga bagi kedua-dua barangan berkenaan sebagai panduan baginya untuk membuat pembelian yang bijak.

Antara barang keperluan seperti pelitup muka, pensanitasi tangan dan disinfektan.