Pellegrini yakin Anderson cipta ‘dimensi baharu’

LONDON, 18 Julai – Pengurus West Ham United, Manuel Pellegrini percaya rekod penandatanganan kelab London itu, Felipe Anderson, akan memberikan pasukannya ‘satu dimensi baharu’.

Pemain tengah dari Brazil berusia 25 tahun itu dilaporkan ditandatangani dengan 33.5 juta pound (AS$44 juta, 38 juta euro), yang berpotensi meningkat sehingga 42 juta pound, dari kelab Lazio, Itali.

“Kami merasakan dia akan membawa dimensi baharu dalam skuad tetapi juga melengkapkan jentera serangan yang kami sudah ada,” kata Pellegrini.

Anderson adalah penandatanganan pra musim ketujuh bagi pasukan Hammers dan bekas pengurus Manchester City, Pellegrini, yang mengambil alih kelab timur London selepas mereka memutuskan untuk menolak daripada memperbaharui kontrak David Moyes, walaupun pengurus dari Scotland itu membimbing mereka untuk kekal dalam kelompok teratas musim lalu.

“Felipe memiliki keupayaan semula jadi dan berkemahiran, dalam gaya tradisi bola sepak Brazil, tetapi telah membuktikannya di Lazio, dia juga memiliki kekuatan dan mentaliti untuk bersaing pada peringkat atas dalam bola sepak Eropah,” tambah pengurus dari Chile, Pellegrini.

Gambar fail yang diambil pada 5 April 2018 menunjukkan Felipe Anderson meraikan jaringannya dalam aksi suku akhir Liga Europa menentang Salzburg di Rom. – AP

Anderson menyertai pemain baharu, Ryan Fredericks, Lukasz Fabianski, Issa Diop, Jack Wilshere, Andriy Yarmolenko dan Fabian Balbuena di Stadium London.

Pengerusi bersama West Ham, David Gold dan David Sullivan, bersama dengan naib pengerusi, Karren Brady, kerap menerima bantahan dan kritikan dari penyokong Hammers musim lalu tetapi Pellegrini memuji pegawai-pegawai kelab itu dengan cara mereka menyokongnya bagi pasaran pertukaran.

“Kami gembira dengan pemain yang kami tandatangani sejak saya tiba dan ia memberikan kami keyakinan besar musim baharu ini,” katanya.

“Kelab tersebut telah membuat pelaburan besar musim panas ini dan saya perlu berterima kasih kepada pemilik bagi sokongan dan bantuan mereka. – AFP