Pelombong berjaya dihubungi, 12 selamat

BEIJING, 18 JAN – Kira-kira 12 pelombong emas terperangkap ratusan meter bawah tanah di China lebih seminggu telah menghantar nota kecemasan memberitahu beberapa daripada mereka mengalami kecederaan, dikelilingi air dan memerlukan ubat segera.

Seramai 22 pekerja terperangkap lebih 600 meter dari pintu masuk lombong selepas ledakan lapan hari lalu di lombong dekat bandar Qixia di timur wilayah Shandong.

Selepas beberapa hari tanpa sebarang tanda-tanda kehidupan, para penyelamat mendengar bunyi ketukan pada petang Ahad ketika mereka menggerudi ke syaf lombong.

Satu nota telah dihantar ke atas menerusi satu tiub dari bawah yang mengatakan kira-kira belasan orang daripada mereka masih hidup namun merayu bantuan ketika keadaan kesihatan mereka semakin merosot.

“Kami sangat memerlukan ubat penahan sakit, pita perubatan, ubat antiradang dan tiga mengalami tekanan darah tinggi,” tulis nota tersebut.

Gambar yang diambil pada 12 Januari menunjukkan para penyelamat bekerja di tapak letupan lombong emas di mana 22 pelombong dipercayai terperangkap di bawah tanah di Qixia, wilayah Shandong, timur China. – AFP

Keadaan 10 pekerja yang lain belum diketahui. Empat daripadanya mengalami kecederaan, menurut nota yang renyuk, basah dengan catatan tulisan cakar ayam menggunakan pensel dan kertas dari buku nota yang dikoyak.

“Kami harap para penyelamat tidak berhenti, oleh itu kami masih mempunyai harapan. Terima kasih,” tulis nota tersebut.

Penulis nota meminta para penyelamat untuk menghantar beberapa perubatan dari keretanya, dan memberi amaran tentang limpahan air bawah tanah tempat para pelombong terperangkap.

Para penyelamat kemudian dapat menghubungi beberapa pekerja yang terperangkap selepas menurunkan talian telefon ke bawah lombong, kata para pegawai tempatan pada sidang media hari ini, tanpa memberi butiran lanjut mengenai apa yang telah dibualkan.

Rakaman daripada penyiaran negara, CCTV menunjukkan para penyelamat bersorak ketika bunyi ketukan dikesan dan kemudian segera membaca nota yang dilekatkan pada tiub yang dibenamkan ke bawah lombong menerusi gerudi pneumatik.

Rakaman menunjukkan para penyelamat menghantar makanan dan minuman kepada para pelombong menerusi terowong kecil. – AFP