Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Pelonggaran langkah pengawalan disambut baik

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Salawati Haji Yahya

    Pembatalan pengimbasan kod QR BruHealth merupakan suatu perkara yang baik dan memudahkan bagi orang ramai untuk memasuki mana-mana premis terutama untuk orang-orang tua yang tidak mahir menggunakan telefon pintar.

    Itulah antara yang dikongsi Dayang Faridah binti Sofry, salah seorang penjaja tanaman di Pasar Gadong semasa ditemui Media Permata yang menzahirkan keterujaan dan kesyukuran mengenai pengemaskinian langkah-langkah pengawalan COVID di negara kita yang diumumkan baru-baru ini.

    “Apa yang penting pelitup muka masih lagi dipakai dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti melakukan penjarakan fizikal terutamanya di tempat yang dikunjungi oleh ramai orang,” tambahnya.

    Antara kemas kini langkah-langkah pengawalan COVID adalah mengenai pengimbasan kod QR BruHealth yang sebelum ini diwajibkan semasa memasuki mana-mana premis yang akan dibatalkan bermula 15 Jun depan.

    Di samping itu juga kebenaran perjalanan rentas sempadan melalui darat dan laut juga telah dirancang untuk dibuka sepenuhnya bermula 1 Ogos 2022 yang telah mengundang banyak reaksi positif dalam kalangan rakyat serta penduduk yang tinggal di negara ini.

    Dayang Faridah, salah seorang penjaja tanaman di Pasar Gadong semasa ditemui menzahirkan keterujaan dan kesyukuran akan pengemaskinian langkah-langkah pengawalan COVID.
    Awang Ramlee menjelaskan dengan pembatalan pengimbasan kod QR BruHealth akan memudahkan lagi urusan keluar masuk premis.
    Dayang Zubaidah Abdullah semasa ditemui di Pasar Gadong, baru-baru ini.

    Menyentuh mengenai kebenaran perjalanan rentas sempadan melalui jalan darat dan laut tersebut, Dayang Faridah juga tidak ketinggalan untuk mengingatkan kepada orang ramai yang ingin membuat perjalanan ke negara jiran supaya tidak lalai dan terlebih seronok semasa berada di luar negara bagi mengunjungi kaum keluarga atau bercuti bersama keluarga mereka.

    “Adalah dinasihati agar orang ramai yang berhasrat membuat perjalanan rentas sempadan itu nanti supaya dapat meningkatkan kewaspadaan dan menjaga keselamatan bersama,” jelas Dayang Faridah.

    Beliau juga menzahirkan rasa teruja apabila mendapat tahu mengenai pengumuman kebenaran rentas sempadan darat dan laut tersebut memandangkan beliau ada kalanya mengambil produk jualannya dari negara jiran.

    Semasa penularan COVID melanda dan sekatan dijalankan ini, beliau terpaksa mengupah pihak tertentu bagi urusan membawa masuk beberapa barangan jualannya dan menyebabkan beliau terpaksa meningkatkan harga jualannya.

    Apabila kebenaran perjalanan rentas sempadan itu nanti dilaksanakan, secara tidak langsung akan dapat menjimatkan kos upah perkhidmatan membawa masuk barangan.

    Seorang lagi individu yang sempat ditemui Media Permata, Awang Ramlee bin Haji Mohamad menzahirkan setinggi kesyukuran apabila diumumkan pembatalan pengimbasan kod QR BruHealth yang jelasnya akan memudahkan lagi urusan keluar masuk premis sama ada di kedai mahupun di pejabat untuk menjalankan pekerjaan sehari-hari.

    Walau bagaimanapun beliau mengongsikan saranannya agar orang ramai tidak mudah lupa untuk terus mengikuti segala SOP yang telah ditetapkan sebelumnya meskipun kita beralih kepada fasa endemik, wabak COVID masih lagi ada dan belum hilang sepenuhnya.

    Sementara itu Dayang Zubaidah Abdullah, menyahut baik terhadap beberapa kelonggaran sekatan yang telah dilaksanakan dan dirancang oleh pihak kerajaan semasa Fasa Endemik ini.

    Beliau memberi respons terhadap kelonggaran itu, sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan semula ekonomi terutama sekali bagi pengusaha kecil dan sederhana di negara ini.

    “Dengan kelonggaran yang dibuat itu, ia akan dapat memudahkan kami mendapatkan barangan perniagaan sendiri dengan harga yang berpatutan yang mana sejak dua tahun yang lalu, kos perniagaan terpaksa dibayar berganda berbeza semasa sebelum pandemik,” jelasnya

    Ketika memberi respons terhadap pembatalan pengimbasan kod QR BruHealth, beliau menyatakan meskipun pengimbasan dibatalkan, orang ramai perlu terus sentiasa mematuhi SOP dan memakai pelitup muka selain menjaga kebersihan.

    Beliau menambah, dengan kelonggaran yang dibuat, sebagai rakyat dan penduduk negara ini perlu terus memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    2 ditahan lepaskan tembakan ke rumah bintang Bollywood

    AHMEDABAD, 16 APRIL – Dua anggota kumpulan penjenayah terkenal ditahan polis India hari ini kerana melepaskan tembakan ke arah rumah pelakon Bollywood, Salman Khan...