Pelosi gesa halang perintah darurat Trump

WASHINGTON, 21 Feb – Speaker Dewan, Nancy Pelosi kelmarin menggesa para penggubal undang-undang untuk menyokong resolusi bagi menghalang perintah darurat kebangsaan yang diisytiharkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi membiayai tembok di selatan sempadan dengan Mexico.

Trump mengumumkan perintah itu bagi mengelak daripada Kongres yang hanya meluluskan suku daripada AS$5.6 bilion seperti yang dimahukan untuk membina tembok dalam rang undang-undang belanjawan.

Awal minggu ini, sebanyak 16 buah negeri menyaman pengisytiharan itu tetapi pentadbiran Trump meneruskan rancangan untuk bekerjasama bagi jumlah tambahan kira-kira AS$6.6 bilion dalam dana persekutuan yang kebanyakannya daripada Jabatan Pertahanan.

Ahli kongres Texas, Joaquin Castro minggu lalu berikrar untuk memperkenalkan resolusi bagi menyekat langkah presiden itu.

Penggubal undang-undang mempunyai tempoh masa sehingga 3 petang hari ini untuk menyokong bersama sebelum diperkenalkan secara rasmi esok.

Nancy Pelosi bercakap semasa sidang akhbar bersama delegasinya di Brussels. Pelosi kelmarin menggesa para penggubal undang-undang untuk menyokong resolusi bagi menghalang perintah darurat kebangsaan yang diisytiharkan oleh Trump. – AP

“Saya menjemput semua anggota kongres untuk menyokong bersama resolusi istimewa ahli kongres, Jaoquin Castro,” tulis Pelosi kepada Demokrat dan Republikan kelmarin.

“Keputusan presiden untuk bertindak keluar daripada undang-undang bagi mendapatkan sesuatu yang beliau gagal capai dalam proses perundangan perlembagaan adalah melanggar Perlembagaan dan perlu disekat,” katanya.

“Kita bertanggungjawab dalam mempertahankan Perlembagaan dan mempertahankan sistem semak dan imbang apabila berdepan tindakan presiden. Demokrat terus menyatakan sokongan.

“Saya bersetuju untuk membatalkan pengisytiharan tersebut,” menurut Senator Demokrat, Brian Schatz.

Sementara itu, Dewan Demokrat, Linda Sanchez dari California berkata beliau teruja untuk menyokong resolusi Castro. – AFP