WASHINGTON, 29 Jan – Speaker Kongres Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi telah menjemput Presiden Donald Trump untuk menyampaikan ucapan negara pada 5 Februari, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan timbalan ketua turus Pelosi, Drew Hammill.
“Ketika saya mengutuskan surat kepada anda pada 23 Januari, saya telah menyatakan bahawa kita perlu bekerjasama dalam mencari satu tarikh yang saling dipersetujui apabila ke-rajaan dibuka untuk menjadualkan semula ucapan negara
pada tahun ini,” kata Pelosi dalam sepucuk surat kepada Trump, yang salinannya dikongsi oleh Hammill menerusi akaun Twitter pada petang kelmarin.
“Dalam perbualan kita hari ini, kita telah bersetuju dengan tarikh 5 Februari.”
“Oleh itu, saya menjemput anda untuk menyampaikan ucapan negara sebelum Sesi Bersama Kongres pada 5 Februari 2019 di Dewan Perwakilan,” menurut surat itu.
Pelosi pada asalnya menjemput Trump untuk menyampaikan laporan tahunan beliau kepada Kongres pada 29 Januari, namun kemudian meminta presiden itu menangguhkan ucapannya atas faktor keselamatan kerana agensi persekutuan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan bagi acara itu tidak dibiayai susulan penutupan sebahagian kerajaan. – Bernama

































