Monday, November 28, 2022
23.1 C
Brunei

-

Peluang bangunkan kemahiran di AS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Pemimpin-pemimpin muda Brunei yang berminat adalah dialu-alukan untuk memohon bagi menyertai Program Penyelesaian Komuniti (CSP) 2023-2024 yang kini dibukakan sehingga 2 November.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam, di sini, program yang dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Negara AS itu merupakan program pembangunan kepimpinan profesional setahun bagi mereka yang berusaha untuk memperbaiki komuniti masing-masing dengan menangani isu-isu yang berkaitan alam sekitar, penyelesaian konflik dan keamanan, akauntabiliti dan ketelusan serta jantina dan wanita.

Oleh itu, kakitangan kerajaan dan sektor swasta, kakitangan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang bekerja sendiri adalah layak untuk memohon bagi menyertai program berkenaan.

Pemimpin-pemimpin komuniti yang terpilih bagi program berkenaan akan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti termasuk fellowship selama empat bulan di AS di mana mereka akan dipadankan dengan organisasi hos di serata AS di mana mereka akan melengkapkan pengalaman profesional langsung mereka.

Para peserta akan menyertai Institut Kepimpinan Komuniti yang merupakan sebuah program latihan kepimpinan yang dirangka untuk mengukuhkan kemahiran pengurusan dan kepimpinan mereka.

Institut itu juga merangkumi latihan bersemuka, kursus-kursus atas talian, latihan profesional dan rangkaian.

Sementara itu, menerusi inisiatif berasaskan komuniti, para peserta ketika berada di AS dengan sokongan daripada organisasi hos akan merangka dan merancang sebuah inisiatif atau projek pembangunan komuniti untuk dilaksanakan apabila mereka kembali ke tanah air masing-masing.

Setelah para peserta meninggalkan AS, mereka akan melaksanakan projek berkenaan di komuniti masing-masing.

Pengalaman pembangunan profesional CSP di AS meliputi praktikum 32 jam seminggu di organisasi hos dan kursus pembangunan kepimpinan 10 jam seminggu serta projek tindakan komuniti selama enam bulan yang memanfaatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan rangkaian yang dibangunkan oleh para peserta di AS.

Dalam 10 tahun kebelakangan ini, CSP telah menyokong lebih 700 orang peserta yang telah memberikan impak positif kepada lebih 600,000 orang dalam komuniti tanah air mereka.

Sehingga kini, hanya dua orang peserta Brunei telah menyertai program CSP kompetitif berkenaan iaitu Dayang Nurul Adilah binti Mahmud, seorang pegawai di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan yang merupakan peserta pertama Brunei yang menyertai CSP pada 2019.

Peserta CSP 2022 pula ialah Leftenan Qurratu’aini Qayyimah Al-Zelzy daripada Tentera Laut Diraja Brunei yang pada masa ini sedang membantu Greening Youth Foundation dengan aktiviti dan latihan Urban Agriculture and Education di Urban Conservation Training Institute (UCTI), Atlanta, Georgia.

Beliau dipetik menyatakan bahawa CSP menyediakannya dengan pelbagai peluang yang menakjubkan untuk belajar, berkembang dan bekerja dengan pelbagai pasukan untuk menangani masalah bersama dan memastikan sebuah masa depan yang terjamin.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung prosedur permohonan dan keperluan kelayakan, boleh melayari laman sesawang, http://nit.ly/esp2023apply.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -