Peluang belia berkhidmat untuk negara

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Bagi memastikan kelancaran solat Jumaat yang disambung semula setelah ditutup lebih 10 minggu berikutan wabak COVID-19, Sukarelawan Belia melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah mengerahkan sekitar 105 sukarelawan.

Ketua Pusat Operasi Bahagian Kema-syarakatan, Sukarelawan Belia, Awang Mohd Ashmeer bin Imtiaz Ahmad ketika ditemu bual menambah, sukarelawan berkenaan ditempatkan di 30 buah masjid iaitu 15 masjid di Daerah Brunei dan Muara serta masing-masing lima masjid di daerah lain.

Beliau menjelaskan, tugas yang diberikan kepada sukarelawan termasuk bertugas bersama anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam mengimbas kod QR BruHealth dan memastikan setiap jemaah masjid telah menempah slot serta mempunyai kod hijau atau kuning sebelum memasuki masjid.

Sukarelawan juga memastikan bahawa setiap jemaah masjid membawa penutup mulut dan hidung serta tikar sembahyang mereka sendiri, membantu membuat pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan mensanitasikan tangan jemaah sebelum memasuki ruang solat.

“Di masjid-masjid tertentu, sukarelawan kami juga membantu mengatur slot sembahyang untuk jemaah masjid, memastikan sekurang-kurangnya satu meter jarak antara jemaah,” kata Awang Mohd Ashmeer.

Dengan slogan ‘Kita Berjuang Bersama’, beliau menyatakan bahawa ini merupakan peluang besar untuk dapat berkhidmat kepada negara pada masa-masa ini, terutama pada hari bersejarah masjid dibuka semula 29 Mei lalu.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama, terutama Jabatan Hal Ehwal Masjid atas kepercayaan dan sokongan berterusan mereka kepada kami Sukarelawan Belia untuk menjadi antara barisan hadapan bersama dengan agensi kerajaan lain dalam memastikan kelancaran solat Jumaat,” tambah beliau.

Sukarelawan ketika membuat pemeriksaan suhu badan jemaah masjid.
Ahli Sukarelawan Belia bergambar ramai bersama anggota ABDB dan PPDB yang bertugas di salah sebuah masjid.