KUALA LUMPUR, 12 JULAI – Harapan peminat permotoran Malaysia untuk menyaksikan anak watan memperagakan kehebatan di perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini, masih menyala.
Pengurus pasukan SIC Racing, Muhammad Zulfahmi Khairuddin berkata, usaha untuk memastikan pelumba Malaysia mendapat tiket wild card bagi beraksi di Sepang sedang giat berjalan.
Tanpa mendedahkan nama, bekas pelumba Moto2 Malaysia itu berkata, beliau kini berada di Portugal bagi mengintai peluang kerjasama bersama beberapa pasukan antarabangsa, selain pihak terlibat berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, di sebalik keghairahan untuk melihat wakil Malaysia beraksi di Sepang, banyak aspek perlu dipertimbangkan, antaranya jadual perlumbaan padat yang terpaksa dilalui pelumba sekiranya mendapat tiket wild card tersebut.
Sebelum ini media tempatan melaporkan seorang pelumba Malaysia, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok disebut-sebut sebagai pilihan mengisi slot wild card Moto3 di GP Malaysia berdasarkan prestasi yang ditampilkan dalam kempen Kejuaraan Dunia JuniorGP musim ini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, “Pelumba tersebut tidak boleh diumumkan secara rasmi lagi, kemungkinan besar Damok akan mendapat slot tersebut tetapi saya tak boleh mengesahkan perkara itu buat masa ini, mungkin pada saat akhir tak dapat pengesahan IRTA (Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa).”
Menurut beliau, pengesahan IRTA akan diterima kira-kira dua minggu sebelum perlumbaan berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober depan. – Bernama