Tuesday, October 15, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang berharga

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Menjadi sukarelawan dalam Program ‘Strayholders’ tahun 2018 merupakan peluang yang sangat berharga kerana selain memperoleh pengalaman sebagai sukarelawan, ilmu pengetahuan yang baru di luar daripada konteks pendidikan formal seperti yang berkaitan dengan haiwan peliharaan juga dapat diperoleh secara tidak langsung.

    Dayang Afiqah Teo binti Haji Muhammad Safwan, 22, salah seorang sukarelawan program itu, turut menyatakan bahawa program berkenaan juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi melalui pengucapan awam dan orang di sekeliling seperti mengikuti lakonan atau drama menjadi seekor haiwan dan juga sesi aerobik bertemakan gerak geri dan bunyi binatang.

    “Program ini juga telah mendidik kanak-kanak atau para pelajar untuk bersifat lebih terbuka melalui perkongsian pengalaman mereka terhadap binatang di rumah masing-masing sehingga dapat membuka minda para sukarelawan dengan situasi atau masalah sebenar yang berlaku mengenai binatang peliharaan atau pun yang terbiar,” tambahnya ketika ditemui pada majlis penutup program tersebut, baru-baru ini.

    Menurut pelajar tahun akhir Politeknik Brunei itu lagi, program seumpamanya mesti diteruskan, bukan sahaja kepada para pelajar peringkat sekolah rendah, bahkan juga kepada pelajar-pelajar peringkat menengah dan para ibu bapa agar kesedaran dan kefahaman yang mendalam mengenai isu binatang terbiar ini dapat diketahui oleh semua lapisan masyarakat di negara ini supaya ia tidak berleluasa dari setahun ke setahun.

    Selain itu juga para belia dan beliawanis diharap akan sentiasa bergiat aktif dalam mengikuti aktiviti kesukarelawan atau pun kemasyarakatan demi meraih pengalaman yang begitu bermanfaat, di samping untuk menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.

    Dayang Afiqah Teo (kiri) bergambar bersama dua orang peserta sukarelawan yang lain semasa Majlis Penutup Program ‘Strayholders’ tahun 2018 baru-baru ini.
    Awang Shamsul Al-Fuad (tiga, kiri) semasa ditemui di Majlis Penutup Program ‘Strayholders’ di Dewan Penghayatan, IPA, baru-baru ini.

    Seorang lagi sukarelawan, Awang Shamsul Al-Fuad bin Rosmadi, 18, pula menyatakan bahawa penglibatan sebagai sukarelawan dalam program itu sememangnya satu peluang keemasan yang sangat sukar untuk diperoleh terutamanya dalam pembelajaran di sekolah.

    Katanya, melalui program itu, ia bukan sahaja untuk memberi kesedaran tentang haiwan peliharaan tetapi kemahiran komunikasi diri juga dapat ditingkatkan melalui perkongsian ilmu dan pengalaman bersama kanak-kanak yang terdiri daripada para pelajar sekolah-sekolah rendah semasa jerayawara program diadakan sebelumnya.

    Diharap program sebegini perlu disebarluaskan bukan hanya di negara ini tetapi negara jiran seperti Sabah dan Sarawak agar kesedaran mengenai isu binatang terbiar ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa terutamanya dalam membanteras penindasan ke atas haiwan di dunia ini,” ujar pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) semasa meluahkan harapannya kepada Media Permata.

    Program anjuran peserta Program Eksekutif Muda Kohort ke-2 yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA) itu telah disertai oleh lebih 60 orang sukarelawan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda