Peluang besar Djokovic di Grand Slam

NEW YORK, 30 OGOS – Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic (gambar) berusaha melengkapkan kalendar Grand Slam pertama dalam tempoh 52 tahun dan sekali gus menjadi pemain tenis lelaki terbaik sepanjang masa untuk memenangi gelaran Slam menjelang Terbuka AS.

Belum ada mana-mana pemain dapat melakukannya sejak kali terakhir oleh Rod Laver pada 1969 dan peluang mencipta sejarah membakar semangat Djokovic untuk mengungguli musim 2021.

“Saya tahu betapa besar peluang berada di depan saya,’’ kata bintang Serbia itu.

“Saya sangat bermotivasi untuk beraksi pada tahap terbaik. Saya mendapat inspirasi untuk itu.’’

Lima bekas juara tidak akan beraksi apabila kejohanan membuka tirai esok di Flushing Meadows termasuk Roger Federer, Rafael Nadal, Stan Wawrinka, Juan Martin del Potro dan pemenang 2020, Dominic Thiem akibat kecederaan.

Halangan Djokovic untuk merangkul gelaran Slam ke-20nya kini ialah pemain muda seperti pemain pilihan kedua dari Rusia, Daniil Medvedev, pilihan ketiga dari Greece, Stefanos Tsitsipas dan juara Olimpik yang juga pilihan keempat dari Jerman, Alexander Zverev.

Djokovic pada Terbuka AS tahun lalu gagal pada pusingan keempat menentang pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta ketika pukulan bola Djokovic terkena pengadil garisan.

Djokovic, 34, tidak pernah tewas dalam aksi Grand Slam tahun ini apabila menumpaskan Medvedev di Terbuka Australia, Tsitsipas di Terbuka Perancis dan mengatasi cabaran pemain Itali, Matteo Berrettini di final Wimbledon. – AFP