Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang ingin untuk melanjutkan pendidikan mereka ke Jepun dipelawa menghantar permohonan bagi mengikuti program biasiswa kerajaan Jepun yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT), Jepun bagi 2017.
Program biasiswa itu mula ditawarkan kepada pelajar Brunei sejak 1984 bertujuan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar Brunei untuk belajar di institusi terkemuka di Jepun serta meluaskan lagi perspektif mereka dan pada masa yang sama meningkatkan lagi prospek kerjaya mereka di masa akan datang.
Bercakap dalam satu sidang media di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kampung Kiulap, hari ini, Setiausaha Pertama Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Rie Arai Sakumoto berkata, sebanyak empat jenis biasiswa ditawarkan iaitu bagi pelajar penyelidikan, pelajar sarjana muda, pelajar kolej latihan khusus dan pelajar kolej teknologi.
Mereka yang berminat untuk memohon biasiswa bagi pelajar penyelidikan dikehendaki menghantar permohonan mulai 1 hingga 30 Mei manakala bagi jenis-jenis biasiswa yang lain, mereka perlu menghantar permohonan yang lengkap di antara 1 hingga 30 Jun.
Menurut beliau, komposisi setiap program biasiswa adalah berbeza tetapi kesemua program biasiswa itu meliputi yuran pengajian, elaun bulanan dan tiket penerbangan di antara Jepun dan Brunei.
Rie berkata lagi bahawa biasiswa itu diharap akan menjadi jambatan penghubung untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara Brunei dan Jepun serta mempromosikan kesefahaman dari segi budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat kedua-dua buah negara.
Manakala itu, penyelidik dan penasihat bagi Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Saki Kishimoto mendedahkan bahawa pada masa ini, terdapat seramai enam orang pelajar di bawah program biasiswa penyelidikan sedang mengikuti pengajian mereka di Jepun.