Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Peluang Borneo dalam pembangunan tenaga hijau

    Oleh Sim Y.H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia dan terbesar di Asia yang menikmati lokasi sentral yang menjana peluang bagi integrasi perdagangan dan serantau.

    Ia terbahagi di antara tiga buah negara iaitu Indonesia, Malaysia serta Negara Brunei Darussalam. Ia juga dikurniakan dengan sumber alam semula jadi yang kaya di mana ia memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi pulau serta menyediakan asas yang kukuh bagi pertumbuhan.

    Namun dalam beberapa dekad kebelakangan ini, Borneo telah menyaksikan pengurangan yang signifikan kepada liputan hutannya.

    Perkara itu antara yang disentuh dan dibentangkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) 2023, Arsjad Rasjid yang juga Pengerusi Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) Indonesia, dalam pembentangannya semasa Meja Bulat ABAC mengenai Borneo dalam Persidangan Perniagaan Brunei yang berlangsung di The Empire Brunei, baru-baru ini.

    Menurutnya, bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang dan memulihara warisan semula jadi Borneo yang unik, adalah amat penting untuk mengintegrasikan prinsip pembangunan mampan ke dalam pelaksanaan dan perancangan pembangunan pulau berkenaan di mana adalah amat mustahak bagi mempunyai keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan perkembangan ekonomi.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang hadir selaku tetamu kehormat.
    Arsjad Rasjid ketika menyampaikan pembentangan.
    Antara jemputan yang menghadiri majlis tersebut03

    Dengan Borneo berusaha untuk menangani cabaran-cabaran pembangunan mampan dan mempelbagaikan ekonomi-nya, ia boleh membayangkan menjadi hab hijau unggul bagi ASEAN dengan menekankan matlamat pembangunan mampan.

    Dalam hubungan itu, Arsjad Rasjid menekankan bahawa Borneo boleh menumpukan usahanya kepada sekurang-kurang dua perkara iaitu membangunkan ekosistem rendah karbon dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

    Pembangunan ekosistem rendah karbon

    Dalam membangunkan ekosistem rendah karbon, Borneo boleh menumpukan kepada menjadi hab bagi ASEAN Carbon Capture, Utilization and Storage (CCUS) serta hab tenaga boleh diperbaharui dengan memanfaatkan skala ASEAN bagi memangkin penerimaan teknologi dan membangunkan penyelesaian simpanan serta pengangkutan kos kompetitif.

    Di samping itu, beliau turut menekankan pentingnya mengembangkan nilai rantaian kenderaan elektrik (EV) dengan memanfaatkan kedudukan geografi strategi dan kelebihan semula jadi Borneo.

    Penyelesaian berasaskan alam semula jadi (NBS)

    Berhubung dengan penyelesaian berasaskan NBS, Borneo boleh bekerjasama dengan rantau-rantau lain untuk membangunkan projek-projek NBS yang boleh membuka potensi penuh ASEAN dari segi pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.

    Dalam pembentangannya lagi, Arsjad Rasjid turut menyentuh mengenai penerokaan kerjasama Borneo yang berpotensi dalam sektor tenaga hijau seperti grid saling berkait di mana Borneo boleh memudah cara transmisi tenaga boleh diperbaharui dalam rantau berkenaan dengan membangunkan grid jana kuasa yang saling berkait di seluruh kawasannya.

    Di samping itu, Borneo juga berpotensi tinggi bagi penghasilan tenaga boleh diperbaharui di mana ia akan membolehkan pulau berkenaan untuk mengeksport kuasa yang bersih serta boleh dimiliki kepada seluruh anggota ASEAN.

    Beliau menerangkan bahawa Borneo telah melaksanakan beberapa usaha untuk menyokong kerjasama tenaga hijau berkenaan termasuk penubuhan sebuah talian penghantaran kuasa merentas sempadan yang menghubungkan Kalimantan Barat dan Sarawak dengan matlamat untuk membekalkan hidroelektrik yang lebih mampan dan bersih ke serata rantau serta pelan strategik Brunei yang menekankan sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti kuasa solar dan hidrogen sebagai komponen utama dalam mempelbagaikan campuran tenaga negara.

    Rantaian nilai EV

    Selain daripada potensinya sebagai sebuah hab tenaga hijau, sumber dan lokasi strategik Borneo juga boleh dimanfaatkan untuk mengintegrasikan pulau berkenaan kepada rantaian nilai EV serantau.

    Arsjad Rasjid menerangkan bahawa kerjasama Borneo dalam rantaian nilai EV mungkin melibatkan usaha dalam perlombongan dan penapisan mineral kritikal seperti nikel, memanfaatkan sumber-sumber semula jadi Borneo sambil menumpukan kepada proses hiliran untuk menyokong penghasilan bateri, membangunkan kemudahan pembuatan bateri untuk mengeluarkan dan membekalkan bateri EV serta membangunkan kemudahan pemprosesan sisa elektronik serantau untuk mengurus pelupusan bateri dan komponen-komponen EV yang lain secara mampan.

    Sebagai titik permulaan dan bagi menyokong visi itu, beliau berkata Indonesia, Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah menetapkan sasaran yang bercita-cita tinggi bagi kenderaan elektrik.

    Indonesia bermatlamat untuk hanya menjual kereta dan motosikal elektrik menjelang 2050, Brunei menyasarkan 60 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan tahunan bagi EV menjelang 2035 dan Malaysia merancang untuk mencapai 15 peratus volum jualan ke-seluruhan EV menjelang 2030, meningkat kepada 38 peratus menjelang 2040 serta memasang 10,000 pengecas awam menjelang 2025.

    Borneo boleh menjadikan dirinya sebagai sebuah pemain utama serantau dalam landskap tenaga hijau ASEAN dan menyumbang kepada masa hadapan yang lebih mampan untuk rantau berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...