Peluang, cabaran industri penerbangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Bagi membuka minda mengenai cabaran dan peluang dari segi pertumbuhan dan pembangunan industri penerbangan, ceramah bertajuk ‘Pengukuhan Pertumbuhan Mapan Industri Penerbangan’ telah diadakan di SEAMEO VOCTECH di Gadong, kelmarin.

Ceramah anjuran Institut Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Brunei Darussalam yang dihadiri oleh 23 orang kelmarin telah disampaikan oleh Haji Hassan Tengah antara lain melihat peluang-peluang Brunei pada peringkat antarabangsa dan serantau dalam sektor pelaburan, pelancongan dan perdagangan bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035.

Haji Hassan Tengah dalam ceramahnya berkongsi pengalaman yang tidak ternilai selepas lebih 40 tahun terlibat dalam industri penerbangan bersama Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Borneo Aerospace Industries (Malaysia) Sdn Bhd dan Vietjetair Joint Stock Company (Vietnam).

Dalam ceramah itu, beliau juga membincangkan tentang etika kerja, prinsip dan amalan dalam pengurusan sumber manusia dan aset, kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, keperluan latihan, perancangan bahan dan pengurusan sumber, analisis kebolehpercayaan, pengurusan projek, kepimpinan dan banyak lagi.

IET Brunei Local Network bertujuan untuk menyediakan platform seperti melalui rundingan teknikal dan lawatan untuk rangkaian dan berkongsi pengetahuan di kalangan profesional dalam masyarakat sains, kejuruteraan dan teknologi termasuk belia di negara ini.

Pengerusi Kehormat IET Brunei Darussalam, Lft. Kol (U) Schufin Haji Brahim menyampaikan cenderamata kepada Haji Hassan Tengah.