Peluang ceburi bidang perguruan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kementerian Pendidikan sangat memerlukan guru-guru prasekolah dan diharap pengalaman para pembantu guru prasekolah secara sukarela di bilik darjah akan dapat meningkatkan kemahiran dan menanamkan minat mereka ke alam kerjaya perguruan.

Dalam hubungan itu, diharap lebih ramai sukarelawan yang akan menyertai Program Penempatan Kerja Sementara Pelajar Lepasan Peringkat ‘O’ dan ‘A’ sebagai Pembantu Sukarela Guru Prasekolah untuk menaburkan khidmat bakti kepada sekolah-sekolah di negara ini.

Ke arah itu, pengetua pusat-pusat tingkatan enam dan sekolah-sekolah menengah diharap dapat memberigakan lagi mengenai program berkenaan bagi menarik minat lebih ramai pelajar lepasan Peringkat ‘O’ dan ‘A’ khususnya yang berminat dalam kerjaya perguruan untuk mengikuti program sukarelawan itu.

Harapan itu disuarakan oleh Ketua Unit Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Program Penempatan Kerja Sementara Pelajar Lepasan Peringkat ‘O’ dan ‘A’ Tahun 2017 sebagai Pembantu Sukarela Guru Prasekolah 2018 yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), hari ini.

Beliau menerangkan lagi sejak program itu diperkenalkan pada Januari 2013, lebih 600 orang sukarelawan telah pun berkhidmat di mana pelajar daripada Peringkat ‘A’ adalah lebih 200 orang dan pelajar daripada Peringkat ’O’ pula lebih 400 orang.

Dayang Marina Chek menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta program yang diraikan di majlis berkenaan.
Dayang Marina Chek bergambar ramai bersama para peserta di akhir majlis penyampaian sijil penghargaan di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.

Di majlis berkenaan seramai 100 orang pelajar iaitu empat orang pelajar Peringkat ‘A’ dan 96 orang pelajar Peringkat ‘O’ telah menyumbangkan bakti sebagai pembantu sukarela guru prasekolah dengan membantu guru-guru prasekolah di sekolah-sekolah rendah kerajaan bagi menangani penjagaan dan pembelajaran kanak-kanak prasekolah.

Program itu merupakan salah satu program yang dijalankan oleh Unit Pemedulian Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Kemahiran Asas di sekolah-sekolah rendah kerajaan seluruh negara di mana program itu diperkenalkan pada Januari 2013 serta ditawarkan kepada pelajar-pelajar lepasan Peringkat ‘O’ dan ‘A’ yang sedang menunggu keputusan peperik-saan mereka untuk menjadi pembantu guru prasekolah secara sukarela.

Penempatan pelajar-pelajar berkenaan tertakluk kepada kesesuaian lokasi sekolah dan tempat tinggal mereka untuk memudahkan mereka hadir ke sekolah berkenaan kerana kebanyakan mereka belum mempunyai lesen memandu dan perlu dihantar oleh penjaga mereka.

Program itu bermatlamat untuk mendedahkan pelajar-pelajar yang terdiri daripada para belia mengenai budaya dan konsep sukarela dengan melaksanakan khidmat bakti secara sukarela kepada masyarakat yang mana sangat bermanfaat untuk pembangunan sahsiah dan jati diri mereka.

Ia juga dihasratkan untuk menjadikan pelajar-pelajar menjadi lebih produktif dengan melakukan kerja-kerja amal dan memberikan khidmat bakti kepada masyarakat tanpa ganjaran kewangan.

Di samping itu, program berkenaan juga membantu membina kemahiran insaniah di kalangan pelajar, yang mana mereka tidak berpeluang mengembangkannya ketika mereka masih menuntut seperti kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan.

Keinginan dan minat untuk menceburkan diri menjadi seorang pendidik juga dapat dikembangkan melalui program itu kerana mereka berpeluang untuk membantu dan merasai sendiri menjadi seorang guru prasekolah dengan pengalaman itu merupakan pembelajaran sepanjang hayat.

Pihak Kementerian Pendidikan berharap supaya program itu dapat membantu pihak guru dan sekolah untuk lebih bersedia menghadapi kanak-kanak prasekolah yang baru terutamanya pada awal persekolahan dengan khidmat bantuan pelajar-pelajar berkenaan supaya pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan lebih lancar serta teratur.

Pengendalian program itu juga dihasratkan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini dengan melahirkan pelajar-pelajar yang lebih berkeyakinan diri serta dapat berdikari sendiri, melalui pengalaman yang disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan selaras dengan aspirasi Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21).