Peluang cerah Atletico

MADRID, 19 APRIL – Real Madrid membuka peluang buat Atletico Madrid meraih gelaran liga selepas sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Getafe semalam dalam saingan La Liga.

Atletico membelasah Eibar 5-0 untuk kembali mencabar gelaran liga dan kemenangan itu terbukti lebih berharga selepas Real Madrid diikat tanpa jaringan di Coliseum Alfonso Perez.

Kemenangan itu bermakna Atletico melebarkan jurang kelebihan mereka di puncak liga dari satu kepada tiga mata mengatasi Real dengan Barcelona yang menjuarai Piala Raja Sepanyol kelmarin ketinggalan lima mata namun masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Sevilla masih boleh memberikan cabaran selepas mereka turut melakar kemenangan menewaskan Real Sociedad 2-1 namun enam mata di belakang Atletico mungkin agak menyukarkan mereka.

Real Madrid menikmati dua minggu yang luar biasa hasil kejayaan menewaskan Barcelona dalam pertembungan Clasico minggu lalu selain turut menewaskan Liverpool dalam kedua-dua perlawanan timbal balik aksi suku akhir Liga Juara-Juara.

Namun senarai kecederaan menjejaskan prestasi, skuad itu akhirnya gagal mencipta kemenangan.

“Saya tidak bimbang. Banyak yang berlaku.

“Ramai yang tidak beraksi tetapi itulah sebenarnya. Kami perlu terus melangkah,” kata Zinedine Zidane.

Zidane hanya membawa 13 pemain senior beraksi di Getafe dan merehatkan Toni Kroos dan Karim Benzema di bangku simpanan. – AFP

Reaksi pemain tengah Atletico Madrid, Marcos Llorente ketika meraikan jaringan golnya semasa perlawanan La Liga menentang SD Eibar di Stadium Wanda Metropolitano semalam. – AFP