Peluang dapatkan pekerjaan esok

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – JobCentre Brunei (JCB) akan menganjurkan Hari Pengambilan pada 3 September ini di Dewan Persidangan Kuala Belait, Daerah Belait di mana sesi akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung 1:30 hingga 4 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JCB, di sini, hari ini, Hari Pengambilan itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kekosongan yang terdapat pada masa ini dalam sektor swasta sera menekankan peranan JCB dalam membantu pencari kerja tempatan mendapatkan pekerjaan.

Acara itu akan mengetengahkan sesi temu duga oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian termasuk Lilama South East Asia Sdn Bhd, Serikandi Oilfield Services, Supa Save, Soon Lee Mega Mart, S.B. Kani Sdn Bhd dan SPHI Foods.

Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian akan menampilkan lebih 100 kekosongan dan JCB mengalu-alukan pencari kerja tempatan untuk menyertai sesi temu duga supaya mereka dapat merebut peluang kekosongan yang ada serta juga untuk membina rangkaian
dengan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

Semasa acara itu, orang ramai boleh mendapat akses dan maklumat mengenai perkhidmatan JCB termasuk Program Perantisan i-Ready dan pendaftaran ke dalam portal JCB.

Kenyataan menyatakan bahawa bagi mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, pencari-pencari kerja tempatan akan diingatkan untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan untuk mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki dewan.

Kenyataan turut menyatakan bahawa kemasukan ke dalam dewan adalah terhad kepada seramai 150 orang pada satu-satu masa.