Peluang Emil, Farres ke Valencia cerah

KUALA LUMPUR, 11 OKT – Pelumba muda Emil Idzhar Ezuan berada di landasan tepat untuk mengisi slot mewakili Malaysia beraksi pada perlumbaan Siri Dunia Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) MiniGP 2021 di Valencia, Sepanyol, bulan depan.

Ia susulan kejayaan pelumba berusia 14 tahun itu muncul sebagai pendahulu bagi dua pusingan pertama Siri Malaysia FIM MiniGP 2021 berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam di Litar Kart Antarabangsa Sepang.

Emil Idzhar kini mengumpul 75 mata daripada keseluruhan empat perlumbaan pada kedua-dua pusingan pertama itu dengan baki dua lagi pusingan akan berlangsung pada 23 dan 24 Okt ini.

Bagaimanapun, kedudukan pelumba berasal dari Selangor itu belum cukup selesa apabila hanya dipisahkan lima mata di depan pencabar terdekat Farres Putra Mohammad Fadhill, 13, yang gagal mengutip sebarang mata pada perlumbaan terakhir selepas terbabit dalam kemalangan.

Pada perlumbaan terakhir tersebut, Emil Idzhar cemerlang memanfaatkan insiden kemalangan untuk menjadi yang pertama melepasi garisan penamat dengan catatan masa 19 minit 28.673 saat manakala Muhamad Akif Abdullah di tempat kedua dan Muhammad Sharf Muhriz Noor Mohd Farhan ketiga. – Bernama