Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Penguatkuasaan Operasi Pulih yang bermula 4 Oktober lalu, di mana orang awam dilarang keluar rumah dari pukul 8 malam hingga 4 pagi, merupakan peluang terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan mengadakan aktiviti seperti keagamaan terutamanya sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, secara maya.
Bagi Pengiran Hajah Fatimah binti Pengiran Haji Mohd Noor yang tinggal bersama ibunya, Pengiran Hajah Aminah binti Pengiran Haji Ahmad yang berusia 85 tahun, sejak Operasi Pulih berkuat kuasa, beliau bersama ibunya lebih banyak menghabiskan masa selepas pukul 8 malam dengan berkongsi kisah silam yang menghiburkan hati.
“Di samping itu, kami akan membuat panggilan video bersama adik-beradik lain untuk bertanya khabar dan melepaskan kerinduan selain membuat tahlil secara maya setiap malam Jumaat.
“Walaupun dengan penguatkuasaan Operasi Pulih ini, ia tidak menghalang kami untuk terus berhubung dan membuat aktiviti keagamaan secara maya,” tambah beliau ketika ditemu bual menerusi telefon.
Manakala itu, bagi seorang guru swasta, Dayang Asmahwati binti Haji Yahya menyatakan sejak penguatkuasaan berkenaan, banyak aktiviti kekeluargaan dapat dilaksanakan bersama.
“Sejak operasi ini dilaksanakan, selain rutin harian iaitu membuat persiapan untuk bahan pengajaran dalam talian, aktiviti kekeluargaan akan dilaksanakan bermula pukul 8:30 malam.
“Operasi Pulih yang dilaksanakan pada ketika ini, juga bertepatan dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dan ini adalah peluang untuk kami sekeluarga membuat majlis dikir secara maya bersama keluarga yang lain,” jelasnya.
Dalam situasi pandemik ini juga, jelasnya, mereka mengadakan bacaan tahlil secara maya yang mana sebelum pandemik, bacaan tahlil dalam kalangan ahli keluarga akan dibuat secara fizikal di kediaman ibu.
Beliau memberi pandangan, dengan mematuhi perintah pelaksanaan Operasi Pulih ini iaitu untuk terus teranah di rumah, merupakan salah satu cara untuk sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan terutama Kementerian Kesihatan untuk memutuskan rangkaian wabak COVID di negara ini.
Dengan slogan ‘Teranah tah di rumah’, tambahnya, ia bukan sahaja dapat mengisi masa dengan sesuatu yang bermanfaat malah ia juga boleh menyelamatkan nyawa daripada jangkitan virus yang menggerunkan ini.