Tuesday, April 29, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang & idea – pengusaha harus terokai

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Melihat kepada peningkatan minat orang ramai dalam memulakan perniagaan, Darussalam Enterprise (DARe) telah mengadakan Program Ideation yang memberikan peluang kepada peserta mengesahkan idea-idea perniagaan dan memberi nasihat bagaimana memulakan perniagaan.

    Program berkenaan yang berlangsung di Auditorium Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini, dibahagikan kepada dua segmen iaitu bagi mereka yang mempunyai idea perniagaan dan mahukan lebih banyak maklumat mengenai bagaimana memulakan perniagaan dan mereka yang mahu memulakan perniagaan tetapi memerlukan nasihat mengenai perniagaan apa yang patut dimulakan.

    Bengkel dikendalikan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Mercatus Ventures, Raiyo Nariman, iaitu sebuah firma usaha sama peringkat awal yang berpangkalan di Malaysia.

    Pada sebelah pagi, para peserta yang mempunyai idea perniagaan berpeluang mendapatkan kepastian sama ada idea mereka itu baik atau sebaliknya di samping diberikan khidmat nasihat perniagaan secara bersemuka mengenai bagaimana untuk memulakan perniagaan mereka dan di mana untuk mendapatkan sumber pembiayaan.

    Manakala itu, pada sebelah petang pula, para peserta yang sedang mencari idea perniagaan berpeluang untuk mendengar taklimat oleh pengusaha-pengusaha perusahaan kecil dan sederhana, syarikat-syarikat pelaburan langsung asing serta agensi-agensi kerajaan yang mengongsikan peluang-peluang yang ada dan juga idea-idea yang boleh diterokai.

    Dayang Norsarizah Sarbini semasa menyampaikan ceramahnya.
    Dayang Norsarizah Sarbini semasa menyampaikan ceramahnya.
    Desmond Lim dan Fatin Ariffin semasa sesi sembang FDI Fireside yang bertajuk ‘Peluang yang diberikan bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana tempatan’.
    Desmond Lim dan Fatin Ariffin semasa sesi sembang FDI Fireside yang bertajuk ‘Peluang yang diberikan bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana tempatan’.

    Terdahulu, sesi taklimat dimulakan dengan ceramah mengenai ‘Priority Business Clusters’ yang telah disampaikan oleh wakil Jabatan Perdana Menteri, Dayang Norsarizah binti Sarbini.

    Beliau dalam taklimatnya menjelaskan bahawa terdapat lima kluster perniagaan utama yang ada dan perlu dipertingkatkan di negara ini iaitu industri halal, industri teknologi dan kreatif, perkhidmatan, pelancongan dan juga hiliran minyak dan gas.

    Dalam taklimatnya itu, beliau turut menyentuh mengenai peluang-peluang yang ada serta aktiviti-aktiviti yang sedang dijalankan bagi meningkatkan kelima-lima kluster utama di negara ini dalam sama-sama membangun negara ke arah yang lebih maju.

    Kemudian, program diteruskan lagi dengan sesi sembang FDI Fireside bertajuk ‘Peluang yang diberikan bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana tempatan’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif Golden Corporation Sdn Bhd, Desmond Lim dan wakil Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Fatin Ariffin.

    Menurut Desmond Lim, syarikat beliau begitu gembira untuk membukakan peluang kerjasama dengan perusahaan tempatan yang berminat dalam penternakan udang dan ikan bagi sama-sama memberikan produk yang berkualiti di negara ini dalam bidang industri akuakultur makanan laut.

    Katanya, sebagai seorang usahawan, terdapat dua perkara penting untuk dipelajari dan diingati iaitu seorang usahawan haruslah bersikap prihatin dengan para pelanggan dan pelanggan berpotensi, kedua mengetahui jika industri tersebut telah bersedia untuk dimanfaatkan dan diperkembangkan.

    Manakala itu, Fatin Ariffin pula menyeru para belia masa kini untuk bekerja bersama syarikat mereka dalam sama-sama mengembangkan lagi dan menghasilkan produk untuk pasaran di negara ini dan juga antarabangsa.

    Program berkenaan turut mengetengahkan taklimat daripada beberapa orang usahawan dalam pelbagai bidang yang mengongsikan strategi-strategi yang diperlukan oleh setiap usahawan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kemapanan perniagaan mereka iaitu daripada Syarikat Al-Huffaz Management, Wing-It, Syarikat Wira Bina dan juga Masmariah Bridal Boutique and Tailoring.

    Selain itu, program turut menampilkan beberapa orang peserta daripada DARe Startup Bootcamp yang mengongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh mereka sepanjang menyertai program intensif selama 100 hari itu.

    Mereka juga mempamerkan produk yang telah mereka majukan semasa program berkenaan itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda