Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Peluang interaksi berkaitan tenaga hijau, teknologi

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN,17 JUN – Dalam menitikberatkan kepentingan kedayatahanan sektor tenaga, Seminar Tenaga telah pun diadakan secara hibrid hari ini di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas sebagai sebahagian daripada aktiviti Minggu Tenaga sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022.

    Seminar dirasmikan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Urusan Interim Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, Haji Azhar bin Haji Yahya.

    Haji Azhar dalam ucapan perasmian beliau antara lain menjelaskan, objektif seminar adalah untuk menyediakan platform bagi perkongsian pengetahuan, peluang interaksi bersama wakil industri, pembuat dasar dan ahli akademik, belajar amalan yang baik daripada projek sebenar dan kajian terperinci penyelidikan dan untuk mendapatkan pandangan berharga daripada pakar teknikal yang berpengalaman.

    Penceramah-penceramah terdiri dari rantau Asia Tenggara dan antarabangsa dan seminar terbahagi kepada empat sesi dengan membincangkan pelbagai topik dan kajian kes, seperti sub permukaan, integriti aset, kesihatan, keselamatan, keselamatan dan alam sekitar (HSSE), tenaga hijau dan teknologi di sektor huluan.

    Seminar dimulakan dengan topik Marginal Field Upstream yang menampilkan penceramah dari Petronas, Malaysia; Pertamina Hulu Energi, Indonesia; PTT Exploration and Production Public Company Limited, Thailand; dan S&P Global.

    Haji Azhar semasa menghadiri seminar tersebut.
    Penceramah undangan, Rachel Calvert semasa menyampaikan ucapannya.
    Haji Jamari Mohd Shah dari Petronas semasa menyampaikan ucapannya.

    Sesi seminar diikuti dengan tumpuan kepada ‘Integriti Aset’ yang mana integriti aset dan proses keselamatan operasi juga berkait rapat dan penting kerana ia memainkan peranan penting dalam menjangka dan mencegah kejadian lebih awal dan mengesyorkan pelan tindakan yang sesuai untuk menghasilkan prestasi optimum.

    Penceramah bagi Integriti Aset adalah wakil dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Brunei LNG Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Petroleum Brunei Darussalam.

    Sementara itu, sesi petang merangkumi tiga tema lain iaitu ‘Kepentingan HSSE yang semakin meningkat dalam Sektor Tenaga’ yang menampilkan pakar dari Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Hengyi Industries Sdn Bhd dan Total Energies EP (Brunei) B.V.

    Sesi ‘Ke Arah Masa Depan Tenaga yang Cekap dan Hijau’ menyediakan perbincangan menarik, pandangan yang boleh diambil tindakan dan peluang unik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi hijau yang inovatif.

    Sesi terakhir mendedahkan tema ‘Mendayakan Teknologi dalam Bidang Mencabar’ dengan gambaran keseluruhan khasnya pembangunan kos rendah dan perspektif Deepwater untuk membuka peluang melalui penggunaan pembangunan terkini dalam penyelidikan dan teknologi.

    Seminar yang berlangsung secara fizikal dan maya itu disertai wakil daripada pendidikan tinggi, penyelidikan, kerajaan, perniagaan, awam dan swasta.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...