Peluang ISESCO, Brunei mengukuhkan kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Bagi memperkukuhkan lagi kerjasama yang sedia ada dan pada masa yang akan datang antara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dengan Negara Brunei Darussalam, Ketua Pengarah ISESCO yang berpusat di Rabat, Maghribi, Dr Abdulaziz Othman Altwaijri yang sedang mengadakan lawatan kerja ke negara ini telah membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hamzah bin Sulaiman, hari ini.

Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, dengan adanya lawatan tersebut, Dr Abdulaziz menekankan kepentingan hubungan rapat antara ISESCO dan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan sebagai fokal ISESCO di negara ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hamzah ketika mengalu-alukan kedatangan Dr Abdulaziz Othman Altwaijri.
Menteri Pendidikan menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah ISESCO.

Antara perkara yang telah dibincangkan semasa kunjungan tersebut adalah bidang kerjasama yang berpotensi khususnya sains dan teknologi, industri halal, tenaga boleh diperbaharui dan pendidikan abad ke-21 yang memfokuskan kepada pemimpin sekolah dan guru berkualiti.

Selepas kunjungan tersebut, Dr Abdulaziz berpeluang untuk membuat lawatan ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk membincangkan lebih lanjut mengenai kerjasama dalam pengajian tinggi disertakan dengan lawatan ke Pusat Penyelidikan Botani UBD.

Antara program lawatan kerja tersebut, Dr Abdulaziz juga akan membuat kunjungan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB). Program akan diteruskan lagi dengan lawatan ke beberapa mercu tanda kebudayaan kebangsaan Negara Brunei Darussalam seperti Pusat Sejarah Brunei dan Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja.