Peluang Kane, Salah kembalikan reputasi

LONDON, 13 Sept – Penyerang Tottenham Harry Kane dan penyerang Liverpool Mohamed Salah miliki peluang terbaik mengembalikan prestasi sebenar apabila kedua-dua penyerang itu membuat perhitungan di Wembley, Sabtu ini.

Empat bulan lalu Kane dan Salah dianggap peledak paling digeruni lawan di Eropah selepas kedua-duanya mengganas dengan merobek pertahanan lawan dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun timbul keraguan mengenai kemampuan mereka untuk mengekalkan momentum menjelang pertembungan paling dinantikan itu.

Kane dan Salah bersaing sengit merebut Anguerah Kasut Emas sehingga ke perlawanan terakhir liga yang akhirnya dimiliki pemain antarabangsa Mesir itu dengan 32 gol mengatasi Kane dengan 30 jaringan.

Salah menjaringkan 44 gol dalam semua pertandingan dalam musim pertamanya bersama Liverpool membolehkan dia dinobat Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional dan Persatuan Penulis Bolasepak.

Kane dan Salah perlu mengambil peluang untuk mengembalikan prestasi sebenar apabila kedua-dua penyerang itu akan membuat perhitungan di Wembley, Sabtu ini. – AFP

Final Liga Juara-Juara menjadi memori hitam kepada Salah apabila dia mengalami kecederaan bahu dan terpaksa dikeluarkan selepas diasak keras pemain Real Madrid, Sergio Ramos. Tanpa Salah Liverpool tewas 3-1 dalam perlawanan itu.

Kecederaan Salah memberi kesan kepada skuad Mesir yang beraksi di Piala Dunia sehingga tersingkir seawal pusingan pertama.

Pemain berusia 26 tahun itu kembali ke Merseyside untuk memulakan musim baharu dengan menjaringkan gol ketika menewaskan West Ham. Walaupun dia menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan Liverpool setakat ini, kelincahannya tidak seperti musim lalu.

Kane bagaikan tidak peduli dengan persepsi tamak memburu gol secara individu tetapi tanpa diragui dia muncul penjaring terbanyak di Piala Dunia lalu dengan enam gol.

Bagaimanapun prestasinya selepas itu agak merosot dan pemain berusia 25 tahun itu hanya menjaringkan dua gol dalam enam perlawanan bersama kelab dan England.

Dia dikeluarkan dalam aksi persahabatan menentang Swtizerland yang dimenangi England 1-0, kelmarin.

“Saya risau mengenai Kane. Sejak 2015 dia sudah beraksi 175 perlawanan. Lupakan aspek fizikal, dia perlukan rehat dari segi mental,” kata penolong pengurus England, Gary Neville. – AFP