Peluang kenali budaya AS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Dayang Salimah binti Haji Saim berpeluang melihat lebih dekat serta mendengarkan penerangan mengenai program pendidikan di Amerika Syarikat (AS) malah bakal mempelajari budaya masyarakat Amerika setelah dipilih menyertai Program Pertukaran Kerajaan AS, Study of the US Institute for Scholars (SUSI).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, Dayang Salimah merupakan seorang pegawai pendidikan di Pusat bagi Pembangunan Pelajar dan Inovasi (CSDI), Politeknik Brunei di mana beliau dipilih untuk menyertai program selama enam minggu mengenai ‘Youth, Workforce Development and Closing the Skills Gap’ di University of Montana.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Dayang Salimah juga akan berkunjung ke Oklahoma dan Washington, DC untuk menyaksikan dengan lebih dekat program-program latihan serta berbincang dengan pakar-pakar.

Program itu bermatlamat untuk meneroka bagaimana trend sosioekonomi telah menukar konsep pekerjaan, pembangunan tenaga kerja dan laluan kerjaya di AS dan seluruh dunia.

Para peserta dalam program itu juga akan meneroka kaedah yang digunakan oleh institusi-institusi pendidikan AS untuk melengkapkan pelajar-pelajar mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang-bidang yang pesat berubah seperti bidang perniagaan, sains, teknologi dan seni kreatif. Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa Dayang Salimah, baru-baru ini, berpeluang untuk bertemu dengan Duta Besar AS ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew J Matthews.

Beliau dipetik menyatakan bagi pihak Kedutaan AS mengucapkan tahniah kepada Dayang Salimah kerana dipilih bagi program berprestij itu serta amat tertarik untuk mendengar mengenai apa yang dapat dipelajari olehnya khususnya daripada program-program pembangunan ekonomi dan perkembangan teknologi di AS serta bagaimana beliau akan mengaplikasikan dapatannya nanti di Brunei untuk mengembangkan lagi peluang latihan bagi belia di Brunei.

Dayang Salimah menyatakan bahawa Program SUSI itu merupakan pengalaman yang memberikan peluang menarik dan mengayakan baginya untuk mempelajari budaya masyarakat Amerika dan program pendidikan mereka serta memberikannya peluang untuk bertukar-tukar idea dengan cendekiawan antarabangsa dari seluruh dunia.

TYT Matthews (kiri) bersama Dayang Salimah (tengah) yang dipilih untuk menyertai Program SUSI di AS.