Peluang kongsi hasil selidik pendidikan Islam dan Bahasa Arab

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Persidangan Antarabangsa ke-5 mengenai Penyelidikan Pendidikan Islam dan Bahasa Arab 2018 (ICRIALE 2018) yang bertujuan memberi peluang kepada ahli akademik, penyelidik, pakar dan pelajar berkongsi pendapat dan hasil penyelidikan berkaitan dengan pendidikan Islam dan Bahasa Arab telah membuka tirainya hari ini.

Perasmian persidangan tiga hari di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) itu telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Persidangan berkenaan menampilkan 130 orang pembentang dan disertai 220 orang peserta yang terdiri daripada para sarjana, pakar, ahli-ahli akademik, penyelidik, pegawai kerajaan dan pelajar pasca-sarjana.

Antara lain objektif persidangan adalah untuk membincangkan isu dan mencadangkan idea kontemporari, model pendidikan Islam dan Bahasa Arab di samping mencari alternatif kepada isu pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Selain itu, ia juga bagi menganalisis dan bertukar pandangan mengenai pelaksanaan pendidikan Islam dan Bahasa Arab seterusnya meningkatkan rangkaian dengan memulakan kerjasama antara akademik, sarjana, pakar, penyelidik dan pendidik.

Tema utama persidangan adalah ‘Transformasi Pendidikan Islam Dalam Era Industri 4.0’ iaitu trend semasa automasi dan pertukaran data dalam teknologi perkilangan dan ini termasuk sistem siber-fizikal, Internet dan pengkomputeran awam.

Pendidikan Islam menyediakan asas dan prinsip nilai yang dipegang oleh setiap Muslim dan perjuangan yang lebih besar dalam Industri 4.0 mesti dihadapi dan mesti menyediakan penyelesaian yang realistik dan praktikal.

Persidangan berkenaan merupakan anjuran bersama Persatuan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM), KUPU SB dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Antara yang hadir pada Majlis Pelancaran Persidangan ICRIALE 2018.