Peluang menang suku juta dalam kempen BIBD Aspirasi 2

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengalu-alukan orang ramai untuk melanggan dalam BIBD Aspirasi 2 sebelum penghujung Ogos ini untuk peluang mendapatkan ganjaran $250,000 dalam cabutan utama kempen berkenaan.

BIBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa cabutan utama berkenaan dijangka berlangsung pada November depan dan hanya layak bagi pelanggan yang melanggan BIBD Aspirasi 2 dengan tempoh pegangan minimum 90 hari.

BIBD Aspirasi 2 adalah program pelaburan dan simpanan unik yang membolehkan pelanggan memperoleh dividen yang menarik serta mendorong pelanggan menyimpan dana mereka untuk simpanan jangka panjang.

Selain itu, ia menawarkan program ganjaran yang memberi peluang kepada 441 peserta memenangi $1,000 setiap bulan dan hadiah suku tahunan $10,000 selain hadiah utama dengan syarat mereka menyimpan dana mereka di BIBD Aspirasi 2 sekurang-kurangnya 90 hari sebelum setiap tarikh cabutan.