Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang meneruskan pengajian di UK

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti di United Kingdom (UK) dipelawa menghadiri Pameran Pendidikan UK yang akan diadakan pada 25 Januari ini bermula jam 2 petang hingga 7 malam di Dewan Indera Samudra, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

    Seramai 30 wakil dari universiti-universiti dan kolej akan menjawab soalan-soalan mengenai pembelajaran di UK dan menerangkan serta mencadangkan kursus-kursus yang sesuai untuk dipelajari.

    Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Brunei, Ben Boddy berkata, pihaknya gembira bahawa UK masih menjadi destinasi nombor satu pelajar-pelajar Brunei.

    “Pameran pendidikan ini memberikan pelajar peluang unik untuk berbincang bersama pakar-pakar bagi membolehkan mereka membuat keputusan kursus mana yang sesuai untuk mereka,” katanya.

    Beliau juga berharap tahun ini lebih ramai pelajar akan menghadiri pameran berkenaan memandangkan sebelum ini lebih daripada 2,000 orang telah menghadiri pameran tersebut tahun lepas.

    Lebih daripada 2,000 orang menghadiri Pameran Pendidikan UK tahun lepas.
    Lebih daripada 2,000 orang menghadiri Pameran Pendidikan UK tahun lepas.

    Pameran itu juga akan dibantu oleh pakar dari Kementerian Pendidikan, termasuk Unit Biasiswa dan Majlis Pengiktirafan Kebangsaan akan menawarkan saranan mengenai prosedur biasiswa.

    Pihak CfBT pula akan membantu mengenai persoalan ujian kefasihan Bahasa Inggeris, manakala Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga akan berada di sana bagi pelajar yang ingin mendapatkan pinjaman dan pakej kewangan.

    Bagi pendaftaran awal, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://bn.edukexhibition.org dan menghadiri Pameran Pendidikan UK untuk berpeluang memenangi tiga baucar bernilai $150 yang juga dibukakan pada hari itu nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda