Peluang menonton sambil menderma

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Filem pertama Negara Brunei Darussalam, ‘Gema Dari Menara’ bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-50 tahun pada 23 Oktober ini dengan majlis ulang tayang eksklusif di The Arena Cineplex, Kampung Kiulap.

Perkara ini dinyatakan oleh Jawatankuasa Penyelenggara Majlis Imbas Kembali Filem ‘Gema Dari Menara’ pada sidang media yang berlangsung di Studio Regalblue Production, Sungai Hanching, di sini, hari ini.

Antara yang hadir pada ialah Zefri Arif, Dato Haji Mahmud bin Bakyr, Dr Haji Mohd Hadi Melayong selaku pengerusi sidang media, Dato Paduka Haji Abdul Saman bin Kahar, Pengiran Haji Abbas bin Pengiran Haji Besar dan Dayang Aishah binti Mohd Noor.

Majlis itu nanti akan mengumpulkan para pelakon dan warga kerja pembikinan filem tersebut dan dijangka hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Tiket-tiket yang dijual adalah terhad dan hasil jualannya akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung amal anak-anak yatim.

(Dari kanan) Zefri Arif, Dato Haji Mahmud, Dr Haji Mohd Hadi Melayong dan Dato Paduka Haji Abdul Saman semasa sidang media di Sungai Hanching, kelmarin.

Tiket-tiket boleh didapati di White Screen Cinema – Regalblue Production, The Arena Cineplex atau hubungi jawatankuasa penyelenggara melalui laman sosial mereka.

Semasa sidang media berkenaan, ahli-ahli jawatankuasa turut berkongsi pengalaman mereka dalam pembuatan filem tersebut dan rata-rata berharap agar industri perfileman di negara ini akan terus berkembang sebagai medium alternatif menyampaikan mesej.

Selain daripada majlis ulang tayang eksklusif itu, beberapa acara lain turut dirancang bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahunnya sepanjang bulan ini, antaranya majlis Doa Selamat dan bertahlil bagi memperingati para pelakon dan warga kerja pembikinan filem yang telah kembali ke rahmatullah.

Majlis itu akan diadakan pada 18 Oktober, sejurus selepas sembahyang Maghrib di Masjid Kampung Bebatik Kilanas dan orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke majlis berkenaan.

Pada 21 Oktober pula, Aktiviti Riadah GDM50 yang bertemakan tahun 60an juga bakal diadakan di kawasan Bazar Ekspresi Seni, Dermaga Diraja Brunei, Bandar Seri Begawan dan orang ramai dialu-alukan datang beramai-ramai bagi sama-sama memeriahkan acara tersebut.