Peluang miliki kereta Jaguar Land Rover terbaharu

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Pengedar tunggal kenderaan Jaguar Land Rover di Negara Brunei Darussalam, Indera Motors Sdn Bhd akan memperkenalkan Program Peningkatan Kenderaan Jaguar Land Rover bagi para pelanggannya pada bulan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Indera Motors, hari ini, bermula awal hingga akhir September, pemilik kenderaan jenama hebat itu boleh menukar kenderaan mereka dengan model baharu pilihan mereka dengan penilaian kenderaan secara percuma dan hadiah istimewa mengikut terma dan syarat.

Kenyataan menyatakan, program berkenaan menyediakan cara mudah kepada para pemilik kenderaan untuk menukar atau menaik taraf kenderaan mereka kepada model-model pilihan dengan reka bentuk terkini.

Program itu juga menawarkan banyak faedah kepada pemilik termasuk berpotensi mengekalkan jumlah bayaran bulanan yang sama atau menurunkannya mengikut terma dan syarat tertentu.

Selain itu, ia juga memberikan jaminan yang lebih lama dan komprehensif, di samping pengurangan kos pemanduan dan meningkatkan keselamatan dengan teknologi terkini dan tahap keselesaan. Malah pemilik boleh beralih daripada kenderaan Jaguar kepada Land Rover, atau sebaliknya.

Kenyataan menambah, perkhidmatan yang disediakan merangkumi penilaian, pertukaran hak kenderaan serta bantuan permohonan pinjaman dan jaminan atas nilai pertukaran yang ditawarkan, tertakluk pada terma dan syarat.

Pelanggan mempunyai pilihan untuk menaik taraf kenderaan kepada Land Rover Defender 90 baharu, Land Rover Discovery Sport, Range Rover Evoque, Range Rover Velar, Range Rover Sport atau Range Rover. Bagi Jaguar, mereka dapat memilih New Jaguar XE, Jaguar XJ50 atau Jaguar E-PACE.

Pemilik kereta Jaguar Land Rover juga dapat menukar kenderaan mereka dengan Land Rover Defender 90 baharu. – Gambar serahan Indera Motors