Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Rizqun Coffee House hari ini memperkenalkan hidangan klasik Jawa, Indonesia iaitu Nasi Ambeng yang terkenal bukan sahaja di Jawa, malah di Selangor, Johor dan Singapura.
Ia merupakan juadah tradisi penduduk Jawa yang dihidangkan dalam dulang bulat besar, dilapisi dengan daun pisang dan boleh dinikmati tiga orang untuk satu hidangan dulang tersebut.
Menurut cef Rizqun Coffee House, Cef Irpan, Nasi Ambeng merupakan gabungan hidangan nasi dan lauk lazat termasuklah Serunding Kelapa, Ayam Opor, Daging Rendang, Hati Buyah, Lemak Lodeh, Begedil, Ikan Kering, Sambal Belacan dan Sambal Goreng. Promosi Nasi Ambeng itu bermula 15 April hingga 14 Mei.