Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Peluang pekerjaan diperluaskan kepada anak tempatan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Dalam mengurangkan kadar pengangguran di negara ini, Kementerian Tenaga akan memberikan keutamaan dalam memperluaskan lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

    Bagi 2022, sasaran pekerjaan tempatan dalam sektor tenaga adalah seramai 22,900 orang anak tempatan iaitu peningkatan sebanyak 3,300 berbanding sasaran pada 2021.

    Sementara itu, daripada segi perbelanjaan dalam negara, Kementerian Tenaga dan Darussalam Enterprise (DARe) bekerjasama rapat dalam membangunkan sebuah Pusat Inkubasi Sektor Tenaga di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) di mana inisiatif itu dihasratkan untuk menjadi landasan bagi memupuk pemikiran pertumbuhan bagi perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor tenaga.

    Sasaran bagi perbelanjaan dalam negara bagi 2022 dianggarkan sebanyak $1.9 bilion, jelas Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein ketika membentangkan peruntukan Kementerian Tenaga dan jabatan-jabatan di dalamnya semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau turut berkata, kementeriannya akan terus memanfaatkan peluang-peluang pembangunan nilai tempatan bukan sahaja di sektor minyak dan gas tetapi juga di sektor kuasa elektrik dengan merangka Arahan Pembangunan Perniagaan Tempatan yang khusus untuk sektor berkenaan.

    “Ia dijangka akan turut menyumbang lebih banyak nilai dalam negeri dari segi perbelanjaan dan pengambilan anak tempatan.

    “Bagi meningkatkan kapasiti syarikat-syarikat tempatan, Kementerian Tenaga adalah peneraju program i-Usahawan di sektor tenaga dan telah berjaya membukakan peluang pekerjaan kepada seramai 317 anak tempatan dan mempunyai jumlah keseluruhan nilai kontrak sebanyak $30 juta,” tambah beliau.

    Usahawan-usahawan belia yang mengikuti program itu, jelas Yang Berhormat Dato, telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan berkebolehan serta mempunyai semangat daya saing yang kuat di mana sebahagiannya telah berjaya memperoleh kontrak-kontrak di luar program i-Usahawan.

    Mengulas mengenai komitmen negara untuk memelihara iklim dan alam sekitar, Yang Berhormat Dato berkata, selain projek tenaga suria di Kampung Belimbing Subok, Kementerian Tenaga juga akan mempertimbangkan penggunaan teknologi panel solar terapung di beberapa kawasan yang bersesuaian di sekitar perairan negara serta takungan air yang telah dikenal pasti bagi menempatkan teknologi solar berkenaan.

    Bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar oleh orang ramai dan sektor swasta, tumpuan Kementerian Tenaga bagi 2022 adalah untuk memperluaskan lagi Program Net-Metering dan memperkenalkan Renewable Portfolio Standards.

    Beliau berharap inisiatif-inisiatif berkenaan akan meningkatkan penglibatan individu dan syarikat di dalam mencapai kelestarian alam sekitar dan iklim supaya ia akan dapat terus dinikmati oleh generasi yang akan datang.

    Dalam menangani impak dari pada COVID-19 yang menjejaskan operasi dan pengeluaran minyak dan gas negara pada 2020 dan 2021, Yang Berhormat Dato berkata satu garis panduan yang dikenali sebagai Notice To Industry on COVID-19 Measures for the Energy Sector telah dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga yang bertujuan bagi memulihkan operasi-operasi di sektor minyak dan gas serta sektor kuasa elektrik berjalan seperti asal sebelum penularan COVID-19.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...