Peluang pelajar berbakat uji kemahiran Sains

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Seramai 30 pelajar dari enam buah sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam (PTE), menerima sijil bagi Pertandingan Biologi Kebangsaan Universiti Toronto 2019 pada majlis yang berlangsung di Auditorium, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), hari ini.

Hadir menyampaikan sijil berkenaan pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Jeanette Stovel.

Pada majlis itu, PYT Jeanette Stovel berkata, “Mempunyai kemahiran STEM membolehkan seseorang terlibat dalam penemuan dan inovasi, dalam penyelidikan atau dalam penciptaan teknologi baharu dan ini biasanya diperolehi di peringkat menengah dan universiti.”

Beliau seterusnya menambah, Universiti Kanada menawarkan suasana akademik yang sangat dinamik dan menarik dengan peluang penyelidikan yang inovatif dan kos kehidupan dan tuisyen yang berpatutan.

“Ini bermaksud, mendapatkan pendidikan berkualiti tinggi yang membuka peluang ke arah masa depan dan faedah dalam jangka masa panjang,” tambahnya.

Hajah Susilawati ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu.
ATAS & BAWAH: PYT Jeanette Stovel ketika menyampaikan Sijil Pertandingan Biologi Kebangsaan Universiti Toronto 2019 kepada penerima.

Sementara itu, Pemangku Pengetua Maktab Sains, Hajah Susilawati binti DP Haji Muhammad menjelaskan, pada tahun ini maktab itu telah diberikan plak bagi penyertaan tertinggi dalam pertandingan yang berprestij ini iaitu 146 penyertaan daripada 256 penyertaan di negara ini.

Beliau menjelaskan, “Pertandingan ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar berbakat muda untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam sains, khususnya Biologi.”

Selain itu, sebagai platform yang sangat baik untuk meningkatkan keyakinan dalam bidang sains seterusnya bersaing dalam kalangan pelajar sekolah menengah, maktab dan PTE.

“Pihak maktab percaya, majlis ini adalah sebagai galakan kepada pelajar untuk terus bekerja keras pada masa akan datang sekali gus dapat menunjukkan pencapaian yang baik,” jelasnya.

Beliau seterusnya melahirkan rasa berbesar hati atas sokongan dan tajaan berterusan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Brunei yang menganugerahkan sijil kepada peserta dan menaja plak bagi penyertaan tertinggi.

Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Biologi, Maktab Sains dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Kanan di Brunei.

Sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan berkenaan termasuk Maktab Sains, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, PTE Meragang, PTE Sengkurong dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali.