Thursday, September 29, 2022
22.6 C
Brunei

Peluang pelajari aplikasi instrumen falak tradisionaL

-

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Seramai 95 orang peserta termasuk tujuh orang dari negara serantau iaitu Malaysia dan Indonesia yang mewakili beberapa maktab pendidikan, institusi pengajian tinggi dan persatuan astronomi menyertai Bengkel Rubu’ Mujayyab yang diadakan secara atas talian, bermula kelmarin hingga esok.

Hadir ke bengkel itu ialah Yang Dipertua Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), Haji Mahadi bin Haji Mohd Tahir, ahli-ahli Eksekutif PABD, pegawai-pegawai dari Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) serta para jemputan dari agensi-agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi yang juga merupakan peserta bengkel.

Bengkel yang memberi peluang kepada orang ramai untuk mempelajari aplikasi instrumen falak tradisional khususnya Rubu’ Mujayyab seterusnya melestarikan keunggulan ilmu dan khazanah Islam itu dianjurkan bersama PABD dengan BKISHHB, Jabatan Perdana Menteri.

Pemangku Pengarah BKISHHB, Dr Haji Mohd Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dalam ucapan perasmian bengkel itu menjelaskan, daripada sembilan galeri yang terdapat di BKISHHB, Galeri 8 merupakan Galeri Astronomi yang menempatkan pelbagai peralatan astronomi tradisional termasuk Astrolabe, Rubu’ Mujayyab, Rubu’ Mujannah dan lain-lain lagi.

“Penganjuran bengkel ini merupakan salah satu usaha dan landasan yang betul dalam menyokong dan merealisasikan matlamat strategik BKISHHB untuk menjadi pusat warisan ilmu Islam dan mampu menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan,” jelasnya.

Antara yang menghadiri Bengkel Rubu’ Mujayyab yang diadakan secara maya itu. – Gambar serahan PABD

Di samping, tambah beliau, ia membukakan peluang kepada BKISHHB untuk menjalankan kajian dan penyelidikan bersama rakan strategik yang mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang tertentu.

Penganjuran bengkel berkenaan selaras dengan objektif utama PABD iaitu untuk memajukan dan memantapkan bidang astronomi terutamanya astronomi Islam (Falak Syarie) di Negara Brunei Darussalam.

Awang Anuar bin Ariffin yang merupakan penggiat instrumen Rubu’ Mujayyab menjadi pemudah cara dalam bengkel berkenaan yang mana beliau pernah bertugas di Bahagian Falak, Jabatan Mufti Pulau Pinang selama 10 tahun dan sekarang ditugaskan di Pejabat Agama Daerah Butterworth, Pulau Pinang.

Selain itu juga, beliau didapati sangat aktif mengajar kursus-kursus falak atas jemputan kolej-kolej, sekolah dan masjid di seluruh Malaysia.

Bengkel berkenaan antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan asas secara teori dan latihan praktikal menggunakan instrumen Rubu’ Mujayyab serta melakukan kerja-kerja praktikal kendiri pada sebelah pagi untuk memantapkan kefahaman peserta.

Sepanjang bengkel itu, tujuh tajuk utama dibentangkan yang memfokuskan kepada aplikasi Rubu’ Mujayyab selain penerangan mengenai pengenalan alatan Falak tradisional, kaedah mendapatkan waktu (jam) dengan menggunakan Rubu’ Mujayyab, penyelesaian hitungan trigonometri dan mengukur saat matahari tegak di atas kepala. Selain itu, peserta juga berpeluang mengetahui latitud dan longitud negara, menghitung waktu solat dan menghitung arah kiblat.

Peserta juga berpeluang menghasilkan sendiri Rubu’ Mujayyab dengan mencetak templat Rubu’ Mujayyab dan mengikut arahan dalam video yang disediakan oleh pihak penganjur sebelum bengkel.

Penyertaan daripada orang ramai juga sangat menggalakkan di mana dalam tempoh yang singkat, bilangan penyertaan telah mencapai angka maksimum dan pendaftaran terpaksa ditutup awal disebabkan oleh had bilangan peserta.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Jepun beri penghormatan kepada Abe

TOKYO, 27 SEPT – Rakyat Jepun dan perwakilan asing memberikan penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri Shinzo Abe pada majlis pengebumian negara mengundang kontroversi...

Dibunuh hanya kerana salah eja

- Advertisment -