KUALA LUMPUR, 3 OKT – Perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, bakal menjadi peluang terbaik bagi pemain yang jarang diturunkan dalam pasukan kebangsaan Malaysia untuk membuktikan keupayaan mereka.
Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka memberi ujian kepada pemain yang kurang beraksi atau belum pernah diturunkan dalam skuad itu, berikutan kecederaan beberapa tonggak utama, pada perlawanan menentang pasukan yang menduduki ranking ke-202 dunia itu.
Beberapa pemain utama seperti pemain tengah Nor Azam Abdul Azih, J. Partiban, Brendan Gan, Abdul Halim Saari serta pemain pertahanan, Shahrul Mohd Saad, bergelut dengan kecederaan, dan kini penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pula mengalami kecederaan pangkal paha.
Perkara ini membuka ruang kepada Cheng Hoe untuk menguji pemain lain, terutamanya pemain tengah Sabah, Mohd Azizan Nordin yang kembali dipanggil menyarung jersi kebangsaan selepas setahun tersisih, untuk menggalas tanggungjawab sebagai perancang tengah.
“Muhammad Shahrel cedera ketika sesi latihan semalam. Kita kena pantau kecederaannya sama ada boleh diturunkan bertemu Sri Lanka nanti. Apa pun, kena tunggu laporan perubatan pasukan.
“Sebagai jurulatih, kita harus memberi peluang kepada setiap pemain yang bersama kita. Mereka sudah pasti tahu corak permainan pasukan dan pada masa sama, saya selalu mengingatkan mereka supaya jangan berasa tertekan apabila diturunkan nanti, tetapi menggalas tugas dengan sempurna dalam setiap perlawanan.
“Menjadi tanggungjawab saya sebagai jurulatih untuk mencari alternatif atau pilihan lain, apabila berdepan masalah seperti ini. Secara keseluruhan, pemain dilihat komited dalam latihan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad negara di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.
Aksi persahabatan itu adalah sebagai perlawanan pemanas badan, sebelum menghadapi cabaran sengit menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, pada 10 Okt ini dalam perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. – Bernama


































