Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Kerja-kerja projek kilang penapisan (Refinery) dan pelan petrokimia yang dijalankan di Pulau Muara Besar (PMB) oleh Syarikat Hengyi sedang giat dijalankan dan usaha-usaha untuk menentukan proses bagi anak-anak tempatan bekerja di sana telah pun dibuat.
Perkara ini telah dinyatakan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar semasa menjawab isu-isu pengambilan anak-anak tempatan di Syarikat Hengyi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong dan wakil dari Daerah Brunei dan Muara (Zon 2).
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, penambahbaikan sedang dibuat ke atas Perintah Galakan Pelaburan 2001 untuk menggalakkan pelaburan yang dapat memberikan insentif menarik kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan.
Contohnya, di bawah Perintah Galakan Pelaburan 2001 ini, Syarikat Hengyi perlu mencapai pengambilan pekerja tempatan sebanyak 60 peratus dan pada 2014, syarikat berkenaan telah berjaya mencapai 75 peratus sehingga kini.
Inisiatif syarikat berkenaan bukan sahaja memberi mereka kakitangan yang mempunyai latar belakang akademik yang sangat baik, malahan pekerja tempatan itu mampu berdaya saing dalam industri minyak dan gas yang mencabar.
Pada tahun 2014, Syarikat Hengyi telah memberikan biasiswa kepada 13 orang penuntut Tahun 2 Sarjana Muda Kejuruteraan dalam Pemprosesan Kimia di Universiti Brunei Darussalam untuk melanjutkan pembelajaran mereka ke Xianjing University. Manakala itu, pada 2015, syarikat tersebut menghantar 13 orang lagi penuntut dalam program yang sama, tahun lalu, seramai 17 orang menerima biasiswa serupa dan tahun ini, dijangka 15 orang akan menerimanya.
Di peringkat pembinaan, tambah beliau, kerajaan telah memohon syarikat tersebut untuk memastikan sekurang-kurangnya 5,000 orang anak tempatan dapat bekerja semasa pembangunan.
“Bererti ia adalah salah satu tumpuan untuk memikirkan bagaimana cara menangani masalah pengangguran,” ujar Yang Berhormat Pehin.