Peluang pengusaha tempatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Semangat keusahawanan, kemahiran pengurusan perniagaan dan pembuatan kuih-muih golongan belia tempatan diketengahkan semasa Jualan Kuih Muih Belia ke-16 yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia Bandar Seri Begawan sehingga malam terakhir Ramadan 1440H/2019M.

Jualan sempena Hari Raya Aidilfitri 1440H/2019M yang telah bermula pada 19 Mei itu telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, hari ini.

Dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan, KKBS dan dikendalikan oleh Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Pusat Belia Bandar Seri Begawan, jualan itu mengetengahkan lebih 100 jenis kuih-muih dan biskut daripada peserta Akademi Masakan Belia, Pusat Belia BSB, Belia Berniaga, Majlis Wanita Brunei, Jabatan Penjara, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan alumni program-program anjuran Jabatan Belia dan Sukan.

Pada majlis perasmian berkenaan, Dr Siti Norkhalbi turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada empat buah keluarga anak yatim dan seterusnya mengadakan lawatan serta diberikan penerangan mengenai jualan daripada para peserta yang menyertai jualan berkenaan.

Pengurus Bersama Jualan Kuih-Muih Belia, Awang Muhd Wa’ie Al-Syafiq bin Mohd Shafiee dalam temu bual bersama Media Permata berkata bahawa jualan tahunan yang dinanti-nantikan oleh orang ramai itu sudah memasuki tahun ke-16 yang mana ia terus mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan bukan sahaja daripada para pengunjung tetapi juga daripada segi penyertaan golongan belia untuk mencuba sendiri bidang keusahawanan dan membuat kuih-muih.

Menurutnya lagi, peserta dalam jualan itu terdiri daripada bekas peserta Akademi Masakan Belia di mana mereka boleh memanfaatkan kemahiran dan kebolehan yang diperoleh semasa program berkenaan untuk digunakan dalam mengurus perniagaan secara bersistematik serta pendedahan kepada dunia perniagaan yang sebenar.

Awang Muhd Wa’ie Al-Syafiq turut menyatakan bahawa jualan itu bukan sahaja mengetengahkan produk-produk daripada golongan belia tetapi juga penyertaan daripada peserta-peserta jemputan termasuk Majlis Wanita Brunei, Jabatan Penjara dan PDI.

Jualan berkenaan menyaksikan penyertaan kira-kira 40 orang ahli KKBT yang mengetengahkan pelbagai produk kuih-muih dan biskut pilihan ramai semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri termasuk kuih tapak kuda, popia mini dan tart.

Mengulas mengenai sambutan orang ramai terhadap jualan itu, beliau berkata bahawa sambutan amat menggalakkan dan berharap pada jualan kali ini, ia akan terus menerima sambutan daripada orang ramai dan akan terus mencatatkan jualan yang lebih baik.

Tetamu kehormat meninjau Jualan Kuih-Muih Belia, yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan. – Gambar oleh Muiz Matdani