Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 29 Jan – Biro Ekonomi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mumong A dan B merupakan antara empat buah MPK di Daerah Belait yang telah diundang menyertai Program Makers Market @ 49 Panaga, di sini.
Program tersebut merupakan acara sampingan Sambutan Hari Burung Kenyalang dan Hidupan Liar Brunei 2018 yang diadakan di kediaman rasmi Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Dr. Ceri Powell di Panaga, anjuran Persatuan Sejarah Semula Jadi Panaga (PNHS) dan Persatuan Fotografi Panaga (PPS) dengan kerjasama BSP.
Ketua Kampung Mumong, Haji Mohd Yusof bin Dulamin, hari ini, memberitahu bahawa program itu merupakan yang julung kali diadakan dan beberapa buah MPK di daerah ini telah diundang untuk sama-sama mempromosikan produk-produk kampung masing-masing dan menurutnya, mereka rasa bertuah kerana terlibat sama menyertainya.
“Melalui program seperti ini, MPK berpeluang mempromosikan produk kampung masing-masing kepada pekerja-pekerja ekspatriat di Syarikat BSP dan syarikat-syarikat kontraktor di bawahnya.

“Keunikan produk-produk Program Satu Kampung Satu Produk adalah ianya buatan tempatan dan kualiti rasa serta buatan yang tinggi dari segi penjagaan kebersihan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Melalui program sehari itu, MPK Kampung Mumong A dan B telah mengetengahkan produk mereka yang sudah tidak asing lagi antaranya cili dalam botol, jem Rosella, kuih tradisi baulu, jus Rosella dan beberapa jenis makanan kering lainnya.
MPK Mumong juga merupakan salah sebuah daripada 11 MPK yang telah menyertai Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-14 di Naning, China, tahun lalu dengan mempromosikan produk mereka seperti sos cili dan jem Rosella kepada kalangan masyarakat China di sana dan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung ekspo tersebut.
Menyertai sama Program Makers Market @49 tersebut ialah MPK Lumut, MPK Melilas dan MPK Labi melalui produk kraf tangan Rumah Panjang Mendaram Besar.